WASHINGTON – Joe Biden, calon Presiden Demokratik mendahului Donald Trump sebanyak 10 mata peratus pada peringkat nasional dalam undian yang dijalankan.
Biden mendapat 52 peratus sokongan berbanding Trump hanya 42 peratus dalam kalangan pengundi berdaftar, menurut undian NBC News dan Wall Street Journal menjelang pilihan raya Presiden AS yang dijadualkan berlangsung pada 3 November ini.
Tinjauan menjelang pra-pilihan raya ini mendapati, Biden mendahului Trump dengan enam mata, 51 peratus hingga 45 peratus di 12 negari iaitu Arizona, Florida, Georgia, Iowa, Maine, Michigan, Minnesota, North Carolina, New Hampshire, Nevada, Pennsylvania dan Wisconsin.
Pengundian dilakukan dari 29 hingga 31 Oktober juga menunjukkan Biden mempunyai kelebihan berbanding Trump dalam kalangan pengundi kulit hitam (87 peratus hingga lima peratus), pengundi muda berusia antara 18 dan 34 tahun (60 peratus hingga 32 peratus), warga emas ( 58 peratus hingga 35 peratus), wanita (57 peratus hingga 37 peratus), pengundi kulit putih dengan ijazah (56 peratus hingga 41 peratus) dan bebas (51 peratus hingga 36 peratus).
Trump, bagaimanapun mempertahankan keunggulan dalam kalangan pengundi kulit putih (51 peratus hingga 45 peratus dan pengundi kulit putih tanpa ijazah (58 peratus hingga 37 peratus).
Tinjauan itu mendapati sebanyak 57 peratus pengundi menyangkal cara Trump mengendalikan pandemik Covid-19, sementara 55 peratus dalam tinjauan bersetuju dengan pentadbiran ekonomi yang dilaksanakan Trump.
Undi bagi kedua-dua calon presiden didedahkan ketika mereka berusaha keras untuk mendapatkan undi.
Biden akan mengunjungi Pennsylvania pada hari Ahad, ketika Trump telah merancang untuk mengadakan kempen di lima negeri – Michigan, Iowa, North Carolina, Georgia dan Florida. – MalaysiaGazette