Home Dunia Kemudahan ujian saringan Covid-19 di lapangan terbang Jepun

Kemudahan ujian saringan Covid-19 di lapangan terbang Jepun

Seorang doktor melakukan ujian saringan ke atas seorang pengembara di Lapangan Terbang Narita. foto Reuters

TOKYO – Lapangan terbang terbesar Jepun membuka kemudahan pusat ujian saringan ketika negara itu dalam persiapan membuka semula sektor pelancongannya.

Pusat PCR Lapangan Terbang Antarabangsa Narita dikhususkan kepada pengembara yang akan ke luar negara bagi membuktikan mereka bebas daripada Covid-19 ketika tiba di destinasi mereka.

Jepun telah melonggarkan perjalanan bagi pengembara dari sembilan negara dan wilayah Asia.

Narita adalah salah satu daripada dua hab antarabangsa di Tokyo.

Makmal yang dikendalikan oleh Yayasan Sekolah Perubatan Nippon, adalah yang pertama di lapangan terbang di Jepun.

Ia dapat memberi keputusan dalam masa enam jam, walaupun ia menjangkakan tempoh itu dapat disingkatkan kepada dua jam pada akhir bulan ini.

Ujian ini tidak dilindungi oleh insurans dan boleh menelan belanja sebanyak 46,500 yen (RM1,842).

Jepun menghalang pengembaraan dalam usaha memerangi wabak itu dengan ketat, termasuk larangan masuk kepada pelancong dan pemegang visa dari lebih dari 150 negara sebelum melonggarkan sekatan secara bertahap mulai bulan September.

Pelancong yang tiba di tiga lapangan terbang Jepun diwajibkan menjalani ujian koronavirus yang mempunyai kemampuan untuk melakukan sekitar 10,000 ujian sehari.

Dengan kira-kira 100,000 kes dan 1,773 kematian, Jepun mengatasi wabak ini dengan lebih baik daripada kebanyakan ekonomi utama. – MalaysiaGazette