Home Nasional KPPK anjur kempen ajak rakyat tempatan bekerja dalam sektor perladangan

KPPK anjur kempen ajak rakyat tempatan bekerja dalam sektor perladangan

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali. foto FAREEZ FADZIL, 04 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Langkah tidak membenarkan kemasukan warga asing ke negara ini merupakan pendekatan terbaik dengan mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, dalam keadaan ramai rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan, adalah wajar penglibatan pekerja asing dihadkan.

“Kerajaan amat memahami situasi yang dihadapi oleh pihak industri mengenai kekurangan tenaga kerja susulan pandemik Covid-19 yang kini berada pada gelombang ketiga.

“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) juga menyedari bahawa kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan komoditi agak kritikal, dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi serta kemajuan industri agrikomoditi negara.

“KPPK akan melipatgandakan usaha untuk mengisi kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan komoditi dengan mengadakan kempen untuk mengajak lebih ramai rakyat tempatan termasuk golongan Orang Asli bekerja di sektor ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Khairuddin lagi, KPPK akan terus bergerak ke arah memberi keutamaan kepada rakyat tempatan bekerja di sektor perladangan dan komoditi selain memperkasa modal insan melalui latihan dan kursus di bawah Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

Pada masa sama kata beliau, kerajaan sedang mempertimbang untuk memberikan permit sementara kepada pekerja asing tanpa izin di negara ini bagi menangani situasi kritikal di sektor sawit dan juga getah bagi bidang pekerjaan yang masih sukar menarik minat rakyat tempatan.

“Kementerian dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus berusaha keras membantu sektor agrikomoditi mendapatkan pekerja melalui kempen menggalakkan penyertaan rakyat tempatan.

“KPPK turut berbesar hati dan mengalu-alukan penglibatan agensi
pekerjaan tempatan untuk tampil serta membantu kementerian bagi menggalakkan rakyat tempatan bekerja di sektor tersebut.

“Ia penting agar usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dapat direalisasikan,” tambahnya. – MalaysiaGazette