Home Nasional Laluan khusus untuk motosikal, selamatkan nyawa penunggang – Lam Thye

Laluan khusus untuk motosikal, selamatkan nyawa penunggang – Lam Thye

Tan Sri Lee Lam Thye
Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR – Dalam usaha menyelamatkan nyawa penunggang motosikal, kerajaan disaran supaya menyediakan laluan khusus kepada penunggang dan pembonceng motosikal di seluruh negara.

Perkara itu disuarakan Aktivis sosial dan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye apabila berkata, perkara itu wajar diberi perhatian sama seperti kerajaan mengambil inisiatif meminda Akta dengan memperuntukkan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan.

“Ia melibatkan keselamatan penunggang motosikal iaitu kategori pengguna jalan raya yang paling terdedah kepada kemalangan maut dan dari tahun ke tahun telah mengorbankan ribuan nyawa rakyat Malaysia yang sebahagian besar adalah golongan belia,” katanya menerusi kenyataan.

Lam Thye mencadangkan, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 yang akan bermula tahun depan, penyediaan laluan motosikal berasingan seperti yang terdapat di sebahagian lebuh raya dan jalan raya di negara ini terutamanya di kawasan pusat bandar, boleh dilaksanakan.

“Contoh terbaik laluan yang dapat menyelamatkan nyawa ialah seperti di sepanjang Lebuhraya Persekutuan dari Petaling Jaya ke Shah Alam hingga ke Klang. Lebuhraya Persekutuan adalah salah satu laluan trafik paling sibuk setiap masa, namun berdasarkan statistik, purata hanya sekitar dua kemalangan maut melibatkan motosikal direkodkan setiap tahun,” tambah beliau.

Antara langkah pencegahan kedua untuk menyelamatkan nyawa, beliau berkata, undang-undang juga perlu digubal untuk mengurangkan had laju motosikal kerana terdapat penunggang yang menunggang sesuka hati dengan kelajuan melebihi had tanpa dikenakan apa-apa tindakan.

“Sebagai langkah awal bagi mengurangkan perbelanjaan besar untuk menyediakan laluan motosikal berasingan di seluruh negara, pihak berkuasa seperti Kementerian Pengangkutan dan polis perlu memastikan penunggang motosikal hanya menunggang di lorong sebelah kiri lebuh raya dan jalan raya dengan dua garisan selari memisahkan mereka dengan kenderaan yang lain,” ujarnya.

Lm Thye berkata, dengan cara itu, kenderaan dua roda dilarang menunggang di lorong paling laju dan bersaing dengan kenderaan lebih besar yang menjurus kepada kematian yang mengerikan dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal.

Beliau berpendapat, pendekatan ini akan menjadi pelopor kepada pelaksanaan menyeluruh laluan berasingan itu.

“Ikatan Komuniti Selamat melihat langkah-langkah ini sebagai tindakan yang boleh dilaksanakan, praktikal dan sudah pastinya, bukanlah sesuatu yang perlu penyelidikan mendalam mengenai kebaikan dan keburukannya.

“Lebih penting lagi, kerajaan perlu melaksana program ini kerana peningkatan mendadak jumlah penunggang motosikal di jalan raya, ditambah lagi dengan populariti perkhimatan penghantaran makanan seperti Grab Food, Food Panda dan lain-lain,” tambah beliau. – MalaysiaGazette