Home Ekonomi MPOA mahu kerajaan segera benar kemasukan pekerja asing sektor perladangan

MPOA mahu kerajaan segera benar kemasukan pekerja asing sektor perladangan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menyambut baik langkah kerajaan bagi mempertimbangkan pemberian permit sementara kepada pendatang asing tanpa izin yang berada di dalam negara untuk bekerja di sektor perladangan kelapa sawit dan getah bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja.

Keputusan ini amat dialu-alukan dan sewajarnya akan dapat membantu pemain industri dan pekebun-pekebun kecil bagi mengurangkan tekanan ke atas isu yang membelungi sektor ini yang telah meyebabkan kehilangan potensi pengeluaran sebanyak 20% ke 30% pada masa ini.

Malah, Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohamad Nageeb Wahab turut berharap pekerja asing yang telah pulang bercuti ke negara asal diberikan kebenaran untuk pulang semula bekerja di Malaysia dan membatalkan pembekuan pekerja asing di sektor perladangan dengan kadar segera.

Artikel berkaitan:Kerajaan pertimbang beri permit kerja sementara kepada pekerja asing tanpa izin – PM

Menurutnya, penyelesaian isu ini akan membolehkan industri meraih pengeluaran seoptima mungkin mengambil kira keadaan harga pasaran semasa yang baik yang seterusnya akan memberikan peningkatan hasil pulangan cukai kepada kerajaan.

”Kami berasa lega dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang berusaha untuk menyelesaikan isu dan permasalahan yang dihadapi oleh industri dan pekebun-pekebun kecil serta mengambil kira kepentingan dan sumbangan industri minyak sawit terhadap ekonomi negara,” katanya yang berharap inisiatif ini akan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Tambah beliau, pihak industri telah melaksana langkah-langkah perlu dan komprehensif dalam usaha menarik minat pekerja tempatan untuk bekerja di sektor perladangan tetapi maklum balas yang diterima sehingga kini adalah amat minimum.

Pemain industri juga secara serius melihat ke arah mengadaptasi penggunaan automasi dan mekanisasi penjenteraan operasi perladangan dalam tempoh masa sederhana bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

“Pihak industri telah melaksana dan akan terus mengamalkan pematuhan prosidur operasi yang ketat dan bersiap siaga mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa serta akan sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini. – MalaysiaGazette