KUALA LUMPUR- Parti MUDA mencadangkan kerajaan memberi bonus dua bulan kepada pekerja barisan hadapan seperti kakitangan perubatan, polis dan tentera.
Ia sebagai menghargai pengorbanan mereka dalam membendung penularan Covid-19 semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.
Selain itu, MUDA turut mencadangkan inisiatif 1 Keluarga, 1 Komputer iaitu menyediakan sebuah komputer riba atau elaun tunai berjumlah RM1,000 bagi setiap keluarga untuk kegunaan pembelajaran atas talian di samping memberikan bantuan tunai berjumlah RM50 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada pelajar institusi pengajian tinggi sebagai perbelanjaan pembelajaran atas talian.
MUDA juga mencadangkan supaya kerajaan memberikan geran tambahan dan pelepasan cukai kepada perniagaan yang mengambil pekerja tempatan dan graduan baharu.
Syarikat yang mengguna pakai amalan baik dalam mengurangkan pencemaran dan kesan rumah hijau juga perlu diberi geran tambahan dan pelepasan cukai, katanya.
Bagi menarik taraf kemahiran bagi mereka yang kehilangan pekerjaan di samping menyediakan bantuan dan penempatan pekerjaan terutamanya dalam sektor-sektor tenaga boleh diperbaharui, MUDA mencadangkan geran tambahan bagi latihan semula dan menaik taraf kemahiran diberikan.
“Melanjutkan program subsidi gaji untuk perniagaan dari Januari ke Jun 2021, dan memberi subsidi yang lebih tinggi untuk industri-industri yang terkesan teruk seperti F&B, pelancongan, dan penerbangan.
“Memperluaskan jaringan keselamatan sosial (elaun, dana, dsb.) untuk komuniti rentan seperti mangsa keganasan rumahtangga, komuniti OKU, artis dan seniman dan sebagainya.
“Peruntukan dana bagi memudah dan menggalakkan pelaburan berkaitan tenaga lestari dan boleh diperbaharui untuk mencipta pekerjaan bernilai tinggi bagi rakyat Malaysia sekaligus bersedia mendepani perubahan iklim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, peruntukan dana kawasan Parlimen yang saksama bagi semua Ahli Parlimen untuk memastikan pengagihan kewangan yang lebih pantas ke kawasan terjejas dan proses desentralisasi bantuan untuk kebaikan rakyat berjalan lancar.- MalaysiaGazette