KOTA KINABALU – Kematian Ketua Pengarah Cawangan Operasi Kebombaan Ibu Pejabat Jabatan Bomba Penyelamat (JBPM) Sabah Alias Abu, pagi tadi selepas didapati positif COVID-19, merupakan satu kehilangan besar, kata Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah.
Menurutnya, Allahyarham Alias, 56, yang difahamkan mempunyai masalah jantung dan asma dan merupakan antara 15 anggota bomba Sabah yang disahkan positif virus itu selepas menjalani ujian saringan pada 16 Okt lepas, menghembuskan nafas terakhir pada 9.15 pagi.
“Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kuala Papar petang ini. Allahyarham adalah anggota bomba Sabah yang pertama terkorban akibat COVID-19. Ini adalah satu kehilangan besar buat JBPM Sabah.
“Kami merasa amat kehilangan kerana Allahyarham seorang yang ramah, sangat tenang dan tidak mudah panik apabila ada kecemasan. Lebih-lebih lagi Allahyarham bertugas di bahagian operasi yang merupakan ‘jantung’ atau tugas utama bomba,” katanya.
Sepanjang tempoh Sabah bertarung melawan penularan pandemik COVID-19, Kamarulzaman berkata, Allahyarham adalah antara pegawai yang menjadi harapan JBPM Sabah, untuk menguruskan pelaksanaan kerja-kerja operasi di seluruh negeri memandangkan agensi itu menjadi sebahagian daripada petugas barisan hadapan.
Sementara itu Kamarulzaman berkata, seramai 400 pegawai dan anggota bomba di Sabah telah menjalani ujian saringan COVID-19 mulai 13 hingga 23 Okt lalu.
Anggota bomba lain yang telah disahkan positif COVID-19, masih menjalani rawatan di pusat kuarantin disediakan, selain ada yang sudah sembuh.
— BERNAMA