KUALA LUMPUR – Syarikat automotif nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) meningkatkan momentum jualannya untuk bulan kelima berturut-turut, merekodkan jumlah jualan bertambah 20 peratus pada Oktober kepada 11,392 unit berbanding bulan yang sama pada 2019.
Dalam kenyataan hari ini, jenama kereta tempatan itu berkata syarikat telah bermula pada suku akhir tahun ini dengan kukuh tetapi menurun 4.6 peratus berbanding September.
Syarikat automotif itu berkata, sebanyak 84,999 unit telah dijual secara keseluruhan pada tahun ini, penambahan sebanyak 6.2 peratus berbanding tahun lepas, pegangan pasaran dianggarkan mencapai 21.3 peratus.
Syarikat itu berkata Proton Exora juga kekal di hadapan pasaran MPV segmen-C, membuktikan pasaran untuk kenderaan besar yang mempunyai tujuh tempat duduk masih wujud walaupun jualan SUV semakin bertambah.
Cabang pengedaran pengeluar automotif tempatan, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata penambahan kadar pelancaran model baharu dan jumlah jualan bulan Oktober adalah antara tanda pemulihan pasaran automotif Malaysia dan menganggarkan jumlah pengeluaran keseluruhan industri (TIV) pada Oktober akan melebihi 57,000 unit, iaitu jumlah kedua tertinggi bagi tahun 2020.
“Ini adalah bukti ketara pemulihan industri. Proton amat bersyukur kerana jualan bulanan bertambah berbanding tahun lepas dan penambahan pula amat stabil, tetapi kami yakin boleh mencapai prestasi yang lebih tinggi.
“Kajian terhadap prestasi jualan secara terperinci menunjukkan jualan telah menurun secara mendadak di Malaysia Timur manakala di Wilayah Tengah pula tiada penambahan berbanding September.
“Ini dipercayai disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang telah mengurangkan pergerakan penduduk dan memberi kesan kepada jualan, tetapi mungkin juga kerana pelanggan menanti-nantikan pelancaran Proton X50, model Proton terbaharu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata Proton yakin akan dapat mengakhiri tahun ini dengan pencapaian cemerlang agar dapat mencapai matlamat yang lebih tinggi pada 2021. – MalaysiaGazette