Home Pendapat Realiti kehidupan rakyat marhaen

Realiti kehidupan rakyat marhaen

Walaupun kerajaan terpaksa melaksanakan PKP namun kesannya kepada kehidupan rakyat cukup terasa. Rakyat kelihatan bergelut untuk meneruskan kelangsungan kehidupan seharian.- Gambar hiasan.

SEDAR atau tidak sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) (di beberapa
kawasan) kehidupan rakyat secara keseluruhannya cukup terseksa.

Walaupun kerajaan terpaksa melaksanakan PKP namun kesannya kepada kehidupan rakyat cukup terasa. Rakyat kelihatan bergelut untuk meneruskan kelangsungan kehidupan
seharian.

Kesan yang paling nyata sekali ialah, kos sara hidup dan perbelanjaan harian kita sebenarnya semakin meningkat.

Walaupun sebahagian daripada kita duduk di rumah dan berkerja dari rumah namun hakikatnya perbelanjaan harian tetap tinggi. Begitulah hendaknya kisah dan naratif kehidupan seharian rakyat
marhaen yang cukup menyedihkan.

Ironinya, pada ketika ini penulis tidak dapat membayangkan langsung nasib golongan marhaen yang selama ini hidup umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Misalnya, golongan yang berkerja atau berniaga sendiri cukup parah pada ketika ini. Peniaga semakin merungut kerana tiada pelanggan kerana orang ramai takut untuk keluar rumah.

Sejak PKP juga ramai yang hilang pekerjaan sekali gus hilang pendapatan secara total. Golongan pekerja bergaji hari antara kelompok yang menerima nasib malang ini.

Hakikatnya, belum sempat golongan ini mencari kerja lain, secara tiba-tiba kes Covid-19 mula naik mendadak mengakibatkan kerajaan terpaksa menguatkuasakan PKPB dan PKPD pula.

Sudahnya golongan ini terus menggigit jari, tiada kerja dan bergelut untuk meneruskan kehidupan seharian sehingga ke hari ini.

Nasib yang sama menimpa golongan graduan baharu yang mula memasuki pasaran kerja apabila majikan tidak berani ambil risiko untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta kurang berminat untuk melantik graduan baru atas alasan tiada pengalaman.

Ini adalah sebahagian daripada kelompok masyarakat marhaen yang hidupnya semakin tidak menentu dan cukup meresahkan.

Jangan lupakita belum lagi membicarakan soal kehidupan dan kesengsaraan rakyat kita di luar bandar yang bekerja kampung dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Apalah
agaknya nasib para petani dan penternak misalnya?

Jadi timbul satu persoalan yang cukup kritikal untuk kita renung bersama, apa agaknya nasib dan ikhtiar kelompok masyarakat marhaen ini dalam meneruskan kelangsungan hidup?

Mereka bukan tidak mahu bekerja, tetapi peluang pekerjaan tidak ada. Jujurnya, kita tidak mempunyai jawapan dan terlalu sukar untuk menggambarkan bagaimana mereka sedang mengurus diri dan keluarga dalam serba kekurangan pada ketika ini.

Bagi penjawat awam, sepatutnya golongan ini bersyukur kerana walaupun PKP, PKPP, PKPB mahupun PKPD gaji tetap berjalan seperti biasa. Jadi golongan penjawat awam tidak wajar merungut sebaliknya perlu terus bersyukur kerana masih ada kerja dan gaji. Tetapi harus diingat kita juga tidak dapat menafikan situasi di mana peningkatan kos sara hidup tetap memberi kesan langsung kepada kehidupan golongan ini terutamanya penjawat awam dari kelompok berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) yang turut dilihat semakin terdesak dan terhimpit.

Keadaan bertambah parah dan semakin memeritkan apabila mulai Oktober kemudahan moratorium pula sudah tamat dan segala hutang kena bayar balik, kecuali segelintir yang boleh mohon dilanjutkan.

Hakikatnya tahap perbelanjaan harian dan bulanan kita kembali mendesak tetapi ekonomi rakyat marhaen tetap tidak berkembang mahupun memberangsangkan.

Jadi, memang ada kebenaran yang nyata di sebalik kata-kata, hanya kita yang mampu menjaga kita. Tiada gunanya kita terus merungut mahupun marah, putus asa atau kecewa.

Sampai bila juga kita mahu bergantung harap pada orang lain?

Realitinya, keadaan tetap tidak akan berubah, apatah lagi kita tidak ada banyak pilihan.

Kehidupan perlu diteruskan walau dengan apa cara sekali pun. Inilah realiti kehidupan kita pada hari ini dan keadaan ini dijangka akan berterusan untuk suatu tempoh masa yang cukup lama. Kita perlu hidup dan hadap situasi genting ini.

Sedarlah masa tidak akan menunggu kita. Wabak ini pula akan terus mengancam kehidupan kita dan mengubah cara hidup kita secara total dan apa yang pasti periuk nasi kita semakin tergugat.

Jadi perlu ada ikhtiar yang berterusan demi kelangsungan hidup diri dan juga keluarga. Jangan berhenti berharap dan jangan berhenti berusaha. Hanya kita yang mampu mengubah nasib hidup kita. Semoga ada sinar di hujung terowong. Padamu Ilahi kami berserah…- MalaysiaGazette

Noor Mohamed Shakil Hameed,

Penganalisis isu semasa