Home Nasional Restoran diberi amaran jangan palsukan menu dengan jenama lain

Restoran diberi amaran jangan palsukan menu dengan jenama lain

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman. foto NOOREEZA HASHIM, 23 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada pemilik premis makanan dan restoran agar tidak memalsukan penyataan  terhadap minuman dan makanan dengan menggunakan jenama berbeza seperti yang dipaparkan pada menu.

Menurut Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, di bawah seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011, mana-mana pemilik peniaga yang didapati bersalah akan didenda tidak melebihi RM250,000, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000 bagi satu pertubuhan perbadanan.

Sekiranya pemilik tersebut bukan suatu pertubuhan perbadanan, meraka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, mereka boleh didenda tidak melebihi RM250,000  atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, ujarnya.

“Kebelakangan ini, KPDNHEP telah menerima aduan daripada pengguna berkaitan penyataan palsu pada menu makanan dan minuman yang diperihalkan oleh peniaga atau restoran seperti minuman jenama “Milo” atau “Nescafe” sepertimana yang tertera pada menu.

“Ianya kerana minuman yang diberikan oleh peniaga adalah dari jenama lain dengan kualiti yang berlainan daripada yang dikehendaki oleh pengguna.

“Perlakuan ini jelas menunjukkan penggunaan perihal dagangan palsu pada barangan atau makanan yang ditawarkan oleh peniaga atau restoran,” kata KPDNHEP menerusi kenyataan.

KPDNHEP selain itu turut memaklumkan telah mengarahkan anggota penguat kuasa di seluruh negara untuk menjalankan pemeriksaan di premis-premis restoran bagi memastikan pematuhan seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 sejak 7 Oktober yang lalu.

Sepanjang tempoh pemeriksaan tersebut sehingga 27 Oktober 2020, sebanyak 881 premis kedai makan dan restoran di seluruh negara telah diperiksa, manakala dua kes telah dikenalpasti kerana menggunakan penyataan ‘Milo’ namun memalsukan menu yang sebenar dengan jenama lain.

Orang ramai turut digalakkan agar menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang aduan berkaitan perkara ini melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my atau di talian 1-800-886-800 atau Whatsapp ke 019-2794317 atau di talian 03- 8882 6088. – MalaysiaGazette