KUALA LUMPUR – Usaha memperkasakan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) harus dijadikan antara salah satu fokus kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini bagi mengelakkan ekonomi negara yang semakin gawat terus merudum.
Langkah ini perlu kerana ketiadaan langkah-langkah mitigasi tambahan kerajaan pada suku sebelum ini terutamanya bagi PKS telah memudaratkan lagi ekonomi negara.
Jurucakap Parti Gerakan, Mourhrna Reddy berkata, keadaan ini menyebabkan kadar pengangguran meningkat.
Malah, saranan kerajaan agar mereka yang hilang kerja melibatkan diri di dalam gig ekonomi juga sudah tidak rasional lagi.
“Ini kerana jumlah mereka dalam ekonomi gig pun sudah agak tepu untuk berebut saiz ekonomi yang sama,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut Mourhrna lagi, laporan Kementerian Sumber Manusia, pembukaan ekonomi sejak Mei telah mengurangkan jumlah pengangguran akibat kehilangan pekerjaan daripada kira-kira 860,000 kepada 773,000 orang pada Jun dan angka itu dilihat sebagai satu perkembangan yang positif
Ramai penganlisa berpendapat kadar pengangguran dapat diturunkan secara drastik kerana PKS adalah sektor yang berorientasikan buruh.
Oleh itu, jelasnya keperluan tenaga buruh secara langsung mengurangkan pengangguran, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.
Disebab ini, peruntukkan besar wajar disalurkan kepada PKS memandangkan sektor ini secara kolektifnya merupakan majikan terbesar di negara ini dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir 10 juta pekerja dan pinjaman bank lebih RM300 bilion, ujar beliau lagi.
Sehubungan itu, beliau tertanya-tanya langkah kerajaan yang nampaknya terarah kepada sektor pelancongan.
“Apakah rasional pengecualian cukai pelancongan, cukai perkhidmatan, dan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM1,000 sekiranya sempadan negeri masih ditutup? Pergerakkan di antara daerah juga terhad,” katanya.
Sambung beliau, kebanyakan pengusaha perniagaan mikro serta PKS yang merupakan 70 peratus daripada keseluruhan perniagaan berdaftar di Malaysia, justeru pemberhentian operasi syarikat sudah tentu memberi kesan mendalam kepada simpanan, modal dan pekerja-pekerja mereka.
“Ini adalah kemelut benar-benar sedang berlaku. “Faktor-faktor seperti kekurangan modal, kehilangan pasaran serta ketidakmampuan memenuhi perbelanjaan operasi bulanan telah mengancam perniagaan mereka.
“Masalah ini wujud kerana perniagaan PKS negara masih tidak mampu untuk berdepan dengan cabaran ekonomi masa hadapan terutamanya dalam norma baru seperti hari ini.
“PKS negara kita tidak mampu untuk menyalurkan dana kepada usaha usaha penerapan inovasi dan teknologi, akses kepada pembiayaan, akses kepada pasaran, persekitaran perundangan dan kawal selia dan infrastruktur.
“Akibatnya PKS tidak dapat berdaya saing kerana terbantut dari segi kewangan,” ujarnya lagi.
Justeru itu, kerajaan disaran untuk agihkan beberapa tender dan kontrak kerajaan khas untuk PKS.
Melalui inisiatif ini, kerajaan bukan sahaja membantu memajukan sektor PKS tetapi mengelakkan situasi di mana ekonomi negara terus dimonopoli oleh syarikat besar.
“Kerajaan juga harus memperhalusi proses PKS memperoleh tender dan tidak terlalu mengenakan karenah birokrasi yang melampau ke atas mereka,” katanya yang menyifatkan Belanjawan 2021 Jumaat ini adalah mother of all budget. – MalaysiaGazette