KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Malaysia mengemukakan 11 cadangan yang menyentuh soal realiti kesempitan dan kesusahan rakyat ketika ini untuk perhatian serta tindakan Perikatan Nasional (PN) dalam Belanjawan 2021.
Cadangan itu termasuk potongan separuh gaji Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri, Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat serta Dewan Negara.
Selain itu, kata Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, cadangan juga dikemukakan bagi pemotongan sebanyak 30 peratus gaji semua Ahli Lembaga Pengarah GLC dan Pengurus Eksekutif Badan-badan Berkanun.
“Bulan November ini adalah bulan yang dinantikan oleh setiap rakyat Malaysia, di mana ia digelar sebagai bulan bajet.
“Tetapi sejak negara dilanda wabak Covid-19, keadaan ekonomi dunia mahupun ekonomi Malaysia berada pada tahap yang tidak memberangsangkan.
“Namun, kerajaan tidak boleh menghalang daripada membentangkan bajet kerana ini adalah peruntukan bagi hak rakyat dan untuk memacu ekonomi bagi tahun berikutnya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut beliau, melihat keadaan semasa, Wira Putra terpanggil memberi beberapa cadangan dengan mengambil kira beberapa perkara yang menyentuh soal realiti kesempitan dan kesusahan rakyat ketika ini.
Kata beliau, dalam keadaan serba sempit ini, semua Menteri perlu mengehadkan satu jawatan untuk Pegawai Khas sahaja, kerana sesetengahnya mempunyai lebih daripada seorang dengan gaji dan elaun mereka ditampung oleh kerajaan.
Ini, tegasnya, merupakan satu pembaziran yang boleh dielakkan
Begitu juga mengenai cadangan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP, Nasrul Ali berkata, jika kerajaan tidak meluluskannya kerana risau masa depan rakyat, mereka boleh memberikan bantuan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada golongan B40 dengan menaikkan jumlah RM3,000.
“Dengan cara ini bantuan dapat diberikan secara bersasar. Ini termasuk pemberian elaun pengangguran berjumlah RM500 sebulan kepada siswazah yang tamat pengajian disalurkan setiap bulan selagi pandemik Covid-19 belum berakhir.
“Kita juga mencadangkan kerajaan memperkasa gerakkan koperasi menyatukan dan mendagangkan hasil Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terutama yang masih baharu untuk berada dalam pasaran,” katanya.
Katanya, Wira Putra juga turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan peluang pekerjaan luar bandar dengan memberi graduan dan anak muda mengusahakan tanah terbiar bagi mengukuhkan food security iaitu hasil dan produk keperluan asas
“Bahkan, ada beberapa cadangan lagi seperti permudahcara dan kurangkan birokrasi untuk rakyat yang baharu berniaga bagi menjana pendapatan dalam mendapatkan ruang dengan sewaan bersesuaian, kelulusan lesen bertempoh.
“Memberi galakan dan menaja yuran kursus jangka pendek bidang TVET dan juga program “reskilling” bagi mereka yang dibuang kerja akibat Covid-19, di samping membantu ekonomi pusat pendidikan dan latihan swasta serta agensi.
“Kerajaan juga boleh mempertingkatkan kemahiran kerja bagi graduan serta orang awam yang menyertai bidang pendawaian, automotif, jahitan, percetakan digital dan pelbagai lagi,” ujarnya.
Beliau turut meminta kerajaan mengecualikan cukai bagi syarikat yang menceburi bidang iR 4.0 selama dua tahun bagi menggalakkan pembangunan bidang digital dengan lebih cekap dalam semua sektor.
Katanya, kepentingan rakyat harus terus kekal sejahtera dan diberi keutamaan ketika ini, termasuk memberi bantuan kewangan one-off sebagai suatu inisiatif yang baik.
Tetapi, ujar Nasrul Ali, jika kerajaan terus menerus memberi ikan, ia akan melemahkan rakyat.
“Oleh itu Wira Putra mohon kerajaan pertimbangkan cadangan ini yang boleh dianggap memberi pancing dan mata kail serta pada masa sama memberi panduan mengendali pancing sebaiknya agar mengurangkan risiko kegagalan dan melemahkan semangat rakyat.
“Kita berharap Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mengambil cadagan ini secara serius agar rakyat dapat manfaat daripada cadangan penjimatan dan elaun khas yang telah dikemukakan.
“Penjimatan dan pengurusan kewangan secara berhemah dan tepat akan segera memulihkan ekonomi serta memberi cahaya kepada rakyat,” kata beliau. – MalaysiaGazette