Home Dunia Rakyat India diminta makan lebih gula atasi lebihan bekalan

Rakyat India diminta makan lebih gula atasi lebihan bekalan

NEW DELHI – Lebihan bekalan gula mendorong badan industri India untuk memulakan kempen agar warga India mengambil lebih banyak komoditi itu.

Berikutan itu, Persatuan Pengilangan Gula India (ISMA) mahu membongkar mitos mengenai gula dan kesannya terhadap kesihatan.

Rata-rata, masyarakat India mengambil sekitar 19 kilogram setahun, masih jauh di bawah purata global.

Namun, negara ini adalah pengguna pemanis terbesar di dunia secara keseluruhan.

Pengeluaran India dijangka meningkat 13% tahun ini menjadi 31 juta tan metrik tetapi kerajaan mungkin menghentikan subsidi eksport untuk menangani lebihan bekalan.

Laman web baru ISMA menampilkan artikel pendek dengan tajuk seperti “Makan, Minum & Sihat: Sedikit gula tidak semuanya buruk”.

Kempen dalam talian juga merangkumi hantaran media sosial dan bengkel, yang mana selebriti chef membincangkan kehidupan sihat.

Ia menyajikan resipi gula-gula dan mensasarkan pemanis buatan tidak membantu orang ramai menurunkan berat badan dan boleh membawa akibat kesihatan.

Kempen yang dilaksanakan di India ini cukup berbeza dengan negara-negara lain yang memberi penekanan supaya mengurangkan penggunaan gula.

Ini kerana gula dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan termasuk obesiti dan diabetes.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sangat prihatin dengan “gula percuma” yang biasanya ditambahkan ke dalam makanan dan minuman oleh pengilang, tetapi juga ditemui dalam madu dan jus buah.

Kira-kira 50 juta petani di India terlibat dalam pertanian tebu, dengan berjuta-juta lagi bekerja di kilang atau terlibat dalam pengangkutan tebu.

Kerajaan India telah mengambil pendekatan intervensi, menggunakan subsidi untuk membantu menjual gula India ke luar negeri, pendekatan yang ditentang oleh negara-negara pengeluar gula lain.

Salah satu cara lain untuk menangani gula berlebihan adalah menggunakannya untuk bahan bakar, dengan mengubahnya menjadi etanol.

Persatuan Pengilang Gula India meramalkan pengeluaran etanol akan meningkat dari 1.9 bilion liter tahun ini kepada 3 bilion liter pada tahun 2021. – MalaysiaGazette