Home Nasional Tiga beranak maut treler dinaiki terbabas di Gopeng

Tiga beranak maut treler dinaiki terbabas di Gopeng

Keadaan kemalangan yang mengorbankan tiga beranak di Gopeng.

IPOH – Tiga beranak maut selepas sebuah lori treler membawa muatan simen yang dinaiki terbabas ke bahu jalan di jalan lama Kota Bharu, Gopeng dekat sini malam tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.28 malam sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng serta Kampar dikejarkan ke lokasi.

“Semasa anggota tiba mendapati terdapat tiga orang tersepit di dalam treler iaitu seorang lelaki dewasa berumur 30 tahun dan dua kanak-kanak lelaki masing-masing berumur lapan dan enam tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata bomba menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan kesemua mangsa kerana keadaan treler yang terbalik dan terpaksa menggunakan jentolak serta jengkaut.

Operasi yang turut dibantu oleh polis, Kementerian Kesihatan serta Tenaga Nasional Berhad itu tamat pada 2.19 pagi dan mayat dibawa ke Hospital Kampar.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu Bernama semasa kejadian, abang saudaranya bersama dua anak lelaki sedang dalam perjalanan dari Gopeng menuju ke Langkap dekat Teluk Intan.

— BERNAMA