Home Utama 13,000 liter minyak masak bersubsidi dijual pada harga biasa disita

13,000 liter minyak masak bersubsidi dijual pada harga biasa disita

KPDNHEP rampas minyak masak bersubsidi

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita 13,000 liter minyak masak bersubsidi yang diisi di dalam 13 tangki fiber dalam satu serbuan di sebuah stor di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor, 2 November lalu.

Pengarah Penguat Kuasanya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, dalam serbuan itu kira-kira jam 5.30 petang itu turut menemui 6,919 bungkus 1 kilogram minyak masak bersubdisi melibatkan dua jenama terkenal bernilai bernilai kira-kira RM58,212.50.

“Sisa plastik minyak masak bersubsidi paket 1 kg yang telah dikoyakkan dan peralatan untuk pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki fiber industri turut disita.

“Stor ini dikenali sebagai tempat untuk melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi paket 1 kilogram (kg) untuk dipindahkan ke dalam bekas minyak masak industri.

“Hasil risikan bahagian ini mendapati bahawa sindiket beroperasi dengan mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi paket 1 kg daripada pemborong berlesen.

“Minyak masak bersubsidi paket 1 kg ini seterusnya akan dilerai dan dikumpulkan dalam satu tangki fiber yang berkapasiti 1,000 liter untuk dipasarkan dengan harga bukan subsidi yang memberikan keuntungan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

KPDNHEP rampas 13 tangki fiber berisi minyak masak bersubsidi

Menurut kenyataan itu, seramai tujuh pekerja lelaki warga asing berumur 18 hingga 25 tahun yang berada di premis kejadian telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Manakala seorang lelaki berumur 42 tahun warganegara tempatan yang bertanggungjawab dengan aktiviti di premis yang telah ditangkap,” katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah melibatkan urusan secara borong atau runcit barang kawalan iaitu minyak masak tanpa lesen sah.

Selain itu, hasil risikan bahagian itu turut membawa kepada serbuan berasingan secara serentak oleh lima orang pegawai di sebuah premis perniagaan di Pulau Indah Industrial Park, Pulau Indah, Selangor.

“Premis perniagaan ini dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti sindiket pemilikan minyak masak bersubsidi di stor pemindahan minyak masak tersebut.

“Dokumen-dokumen bukti bagi pembelian serta pembekalan dan buku stok barang kawalan oleh perniagaan ini disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Peraturan 13 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih dari RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala mengikut Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961, bagi syarikat atau pertubuhan berbadanan, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3 juta. – MalaysiaGazette

+ posts