Home Belanjawan 2021 Agong mahu Belanjawan 2021 berpaksikan kebajikan rakyat

Agong mahu Belanjawan 2021 berpaksikan kebajikan rakyat

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah menerima mengadap Tengku Zafrul Aziz dan Asri Hamidon bagi membentangkan penyediaan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan harapan agar kerajaan memperhalusi dengan sebaik-baiknya cadangan-cadangan yang telah dikemukakan bagi merangka Belanjawan 2021 yang bersifat inklusif dan komprehensif, serta berpaksikan kebajikan rakyat, pemulihan ekonomi negara dan pembendungan efektif wabak Covid-19.

Harapan itu dizahirkan selepas baginda berkenan menerima menghadap Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkenaan penyediaan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Pertemuan itu berlangsung selama 70 minit bermula jam 3 petang tadi di Istana Negara. Turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon

Dalam pertemuan itu Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat ringkas mengenai kedudukan ekonomi dan fiskal negara, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Baginda dimaklumkan mengenai usaha Kementerian Kewangan bagi penyediaan Belanjawan 2021 sejak Julai lalu, melalui
lebih 40 sesi libat urus yang melibatkan lebih 2,000 individu dan wakil perniagaan, termasuk para wakil daripada parti-parti politik negara yang telah diadakan baru-baru ini.

Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan serta parti-parti politik di atas semangat bipartisan dan pemuafakatan yang telah ditunjukkan.

Al-Sultan Abdullah berpendapat amalan kematangan berpolitik dengan mengenepikan perbezaan dan kepentingan parti atau peribadi amatlah penting pada ketika ini demi keselamatan dan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat bencana wabak Covid-19.

Sesungguhnya, semangat-semangat sebegini adalah selaras dengan budaya syura yang dianjurkan oleh Islam sebagaimana yang telah dipamerkan oleh Raja-Raja Melayu dalam sesi Perbincangan Khas di Istana Negara pada 25 Oktober lalu.

”Dalam keadaan kita menghadapi situasi yang sukar dan genting ini adalah wajar kita mendahulukan kemaslahatan masyarakat umum di atas kepentingan individu secara khusus.

”Ia sejajar dengan kaedah fiqh dengan merujuk kepada Al-Muwafaqat (jilid 3, mukasurat 88) yang bermaksud ‘mengambil kira kemaslahatan umum adalah lebih didahulukan daripada mengambil kira maslahah khusus’,” ujarnya.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar semangat kerjasama yang dizahirkan oleh pelbagai pihak dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan negara. – MalaysiaGazette