KUALA LUMPUR – Bekas suami penyanyi terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri yang dihukum penjara lapan bulan kerana merotan tangan anak lelakinya, memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi untuk mengenepikan sabitan dan hukuman bagi kesalahan itu.
Peguam Amir Farid Mohd Nawawi, yang mewakili Armin Zaharin, 55, memberitahu Bernama rayuan itu difailkan pada tarikh sama anak guamnya dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret Shah Alam iaitu 28 September lepas.
Beliau berkata, rayuan itu sepatutnya ditetapkan hari ini untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Azizah Jaafar namun ditangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya sehingga 9 November ini.
Katanya, mahkamah menetapkan 19 November sebagai tarikh pengurusan kes yang baharu di hadapan Nur Azizah.
Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Armin Zaharin bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya yang berumur 9 tahun menggunakan sebatang rotan di sebuah rumah di Denai Alam, Shah Alam antara 8 malam dan 10.30 malam pada 24 Februari 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sabreena bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Armin Zaharin ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.
Bekas ketua pramugara itu ditangkap pada 2 Mac 2018 selepas Ziana, 52, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin membuat laporan polis pada 27 Februari 2018.
Ziana dan Armin Zaharin sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.
Penyanyi yang popular dengan lagu Madah Berhelah dan Putus Terpaksa itu memfailkan tuntutan perceraian pada 3 April 2018 selepas Armin Zaharin enggan melafazkan cerai terhadapnya.
Pasangan sensasi itu mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berumur lingkungan 11 hingga 20 tahun. – Bernama