Home Belanjawan 2021 #Belanjawan2021 : Fokus golongan belia, salur bantuan sara hidup secara berterusan

#Belanjawan2021 : Fokus golongan belia, salur bantuan sara hidup secara berterusan

Penjaja kecil menjalankan aktiviti perniagaannya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Belanjawan 2021 di sekitar Masjid Jamek, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR –  Belanjawan 2021 merupakan agenda penting dalam usaha kerajaan menyalurkan lebih banyak bantuan kepada golongan yang terkesan akibat wabak Covid-19 lebih-lebih lagi ketika negara dilanda gelombang ketiga.

Umum mengetahui, bukan hanya Malaysia, malah seluruh dunia berhadapan dengan pandemik yang telah mengorbankan ribuan nyawa dan menjejaskan ekonomi negara.

Sebagai kerajaan yang amat prihatin kebajikan rakyat, pelbagai bantuan telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. kepada golongan sasar yang terjejas akibat Covid-19.

Empat pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN, PRIHATIN SME+, PENJANA dan KITA PRIHATIN berjumlah RM305 bilion membuktikan bahawa kerajaan tidak meminggirkan mana-mana pihak sebaliknya berusaha memastikan setiap program yang diumumkan mencakupi setiap golongan sasar.

Ini termasuk Bantuan Prihatin Nasional sebanyak RM18.2 bilion untuk 10.6 juta penerima B40 dan M40; Geran Khas Prihatin berjumlah RM1.6 bilion untuk 345,000 Perusahaan Kecil Sederhana (PKS); dan juga Program Subsidi Upah sebanyak RM12 bilion yang membantu 2.8 juta pekerja dan sekaligus kapasiti operasi untuk 320,000 majikan.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini, pastinya kerajaan juga mahu mendengar suara rakyat tentang harapan mereka.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati isu-isu seperti penyaluran bantuan bersifat tunai, lanjutan moratorium dan kebajikan belia merupakan antara cadangan yang perlu diberi perhatian khusus.

Menurut Eksekutif Komunikasi Korporat, Sunesha Munisamy, 26, kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap graduan dan anak muda yang berdepan masalah pengangguran susulan daripada penularan wabak Covid-19.

“Saya syorkan kepada kerajaan supaya fokus terhadap golongan belia terutamanya yang baru menamatkan pengajian memandangkan mereka merupakan keperluan negara pada masa akan datang dan tidak menjadi ‘gelandangan berpendidikan’ sama ada di bandar mahu pun luar bandar.

“Ditambah dengan musim Covid-19, dianggarkan terdapat hampir sejuta penganggur ketika ini dan golongan belia lah yang perlu dipertingkat ‘soft skills’ mereka demi memenuhi keperluan pasaran kerja,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Sunesha Munisamy

Dalam pada itu, Sunesha berkata, kerajaan bukan sahaja perlu menyediakan pekerjaan yang bersesuaian dan mencukupi buat anak muda malah perlu melihat semula data dari segi keberkesanan sama ada peluang-peluang yang disediakan itu sampai kepada golongan sasaran.

Sementara itu, seorang peniaga pakaian, Perawati Akhiruddin, 40, menyuarakan pandangan supaya moratorium secara bersasar dapat dilaksanakan selain meneruskan bantuan kewangan untuk golongan seperti mereka iaitu Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Tambah Perawati, dia juga berharap kerajaan dapat memberi lebih perhatian terhadap keluh kesah rakyat terutamanya peniaga kecil, penjaja jalanan termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan.

Perawati Akhiruddin

“Harapan saya supaya kerajaan lebih prihatin kepada golongan peniaga kerana umum mengetahui orang ramai tidak boleh keluar sesuka hati ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat jadi siapa yang akan jadi pembeli? Kami sebagai peniaga tetap membuka perniagaan dan bayaran sewa pula berjalan seperti biasa.

“Kalau boleh lanjutkan moratorium bagi pinjaman perumahan, kereta dan sebagainya kerana ia merupakan aspek penting yang perlu dititik berat. BPN pula teruskan lah walaupun bantuan diagihkan sedikit demi sedikit,” ujarnya.

Manakala seorang peniaga dalam talian, Anida Salim, 53, berkata, golongan yang terjejas teruk ketika pandemik Covid-19 ini merupakan pekerja dalam sektor perhotelan kerana kebanyakan mereka kehilangan punca pendapatan selepas diberhentikan kerja.

Anida Salim

Anida sebelum ini merupakan salah seorang pekerja di sebuah hotel di ibu kota namun telah diberhentikan dan kini mengusahakan perniagaan dalam talian.

“Kerajaan perlu ambil tahu (masalah rakyat) terutamanya mereka yang diberhentikan kerja macam saya. Moratorium perlu dilanjutkan sehingga tahun hadapan kerana ramai lagi di luar sana yang hilang pekerjaan.

“Golongan B40 sebenarnya memang bergantung harap kepada kerajaan untuk salurkan pelbagai bantuan mengikut keperluan,” katanya.

Zaiful Izwan Mohamad

Bagi juruteknik, Zaiful Izwan Mohamad, 38, tidak ada yang lebih penting ketika ini melainkan bantuan berbentuk tunai dapat disalurkan sehingga keadaan semasa menjadi lebih stabil.

“Lebih banyak bantuan dalam bentuk wang ringgit amat diperlukan rakyat dan ia perlulah secara berterusan dan tidak sekadar terhenti ketika musim Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Loo berkata, Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan perlu memberi keutamaan kepada sektor kesihatan.

Mr Loo

Jelas Loo, ia merupakan sektor penting kerana melibatkan petugas barisan hadapan yang ketika ini berperang dengan virus Covid-19.

“Mestilah kesihatan, macam mana kita hendak lawan atau atasi pandemik yang dihadapi sekarang. Itu paling mustahak jadi sektor kesihatan perlu bajet lebih,” ujarnya.

Manakala bagi peniaga makanan, Zurina Bakar, 52, sama ada peniaga di tepi jalan mahu pun restoran besar kesemua mereka kini berdepan dengan kerugian dalam jangka masa panjang.

Zurina Bakar

Zurina yang menjalankan perniagaan nasi lemak berkata, tidak ada lebihan wang yang boleh digunakan kerana kesemuanya habis untuk pusingan modal sehinggakan tidak cukup untuk membayar gaji pekerja.

“Satu sahaja harapan saya iaitu dapat membuat pengeluaran wang daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang benar-benar diperlukan oleh semua yang terjejas ketika ini.

“Saya cuma berniaga tapi tetap carum KWSP dan pengeluaran akaun satu sedikit sebanyak pasti membantu,” katanya. – MalaysiaGazette