Home Utama Beri peruntukan lebih banyak agar mereka pilih saya nanti, seloroh Tajuddin

Beri peruntukan lebih banyak agar mereka pilih saya nanti, seloroh Tajuddin

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman meminta lebih banyak peruntukan diberi untuk Desa Baru di kawasannya di Pasir Salak dengan harapan ia akan meningkatkan peluangnya untuk mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya akan datang.

Tajuddin (BN-Pasir Salak) berkata demikian ketika mengajukan soalan tambahan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, dengan meminta penjelasan mengenai jumlah peruntukan yang diberi untuk Desa Baru seperti Cucak dan Langkap di Pasir Salak.

“Saya hanya ingin bertanya kepada menteri, berapa banyak yang telah diperuntukkan untuk Desa Baru seperti Cucak dan Langkap yang berada di kawasan saya?

“Sekiranya menteri boleh, silalah beri peruntukkan lebih banyak, agar mereka (pengundi) memilih saya nanti,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said bersetuju dengan ucapan beliau dan secara berseloroh mengatakan ia juga harus dilakukan di kawasan lain.

“Untuk Pengerang juga,” kata Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang.

Pertanyaan Tajuddin muncul selepas Ahli Parlimen (DAP – Ipoh Timur), Wong Kah Woh bertanyakan kepada Zuraida mengenai jumlah peruntukan yang diberikan kepada New Village pada tahun 2020 dan mengapa ia ditangguhkan.

Mengenai pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Salak, Zuraida berkata, beliau tidak mempunyai perincian peruntukan tetapi akan memberikan jawapan bertulis, sambil menambah bahawa semua kawasan diberi jumlah peruntukan yang sama.

“Sebenarnya, untuk peruntukan, tidak ada lebih kurang, kerana semua ketua kampung mempunyai peruntukan RM100,000.

“Mereka dapat mengajukan permohonan peningkatan infrastruktur,” ujarnya. – MalaysiaGazette