Home Nasional Covid-19: Institusi pendidikan di barat daya Pulau Pinang ditutup 2 minggu

Covid-19: Institusi pendidikan di barat daya Pulau Pinang ditutup 2 minggu

JPN Selangor Ministry of Education (MOE) teacher rape jokes SMK Puncak Alam Ain
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua institusi pendidikan di kawasan zon merah di daerah barat daya Pulau Pinang berikutan peningkatan kes positif Covid-19 akan ditutup bermula 6 November hingga 20 November ini.

Ia melibatkan 56 institusi pendidikan yang merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah Kemterian Pendidikan Malaysia (KPM), Kolej Vokasional serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

Menurut KPM, sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup dan ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.

“Bagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk
diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah atau institusi sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

“Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

Tambah kenyataan itu, sepanjang tempoh penutupan tersebut, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Ujarnya, manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

Senarai institusi pendidikan yang ditutup akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan akan dimuat naik di portal KPM dan di platform media sosial rasmi kementerian itu. – MalaysiaGazette