Home Nasional Konkrit 18 inci gagal halang air masuk ke rumah

Konkrit 18 inci gagal halang air masuk ke rumah

Gelagat Penduduk Taman Sri Nanding yang kediaman mereka dilanda banjir kilat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2020.

HULU LANGAT – Binaan konkrit setinggi kira-kira 18 inci di hadapan pintu dapur gagal menghalang air memasuki sebuah rumah di Taman Sri Nanding, di sini dalam kejadian banjir kilat akibat hujan lebat sejak malam tadi.

Menurut seorang penduduk, Farouk Jailani, 68, walaupun binaan konkrit yang dibinanya itu agak tinggi, namun dia tidak menduga paras air kali ini lebih tinggi berbanding tiga kejadian banjir sebelum ini.

Temubual bersama penduduk, Farouk Jailani di Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2020.

“Biasanya air banjir akan masuk dari dapur, sebab itu saya buat halangan batu di depan pintu dapur.

“Saya tak sangka hujan semalam lebat berterusan hingga ke pagi ini sebab saya tidur awal.

“Saya hanya menyedari kejadian itu pada jam 7 pagi tadi,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Nanding, di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi Syahriza Mohd Sharif, 33, dia hanya menyedari kejadian banjir itu ketika hendak keluar rumah ke tempat kerja dan air masuk ke dalam rumah sebaik sahaja dia membuka pintu.

Penduduk, Syahriza Mohd Sharif (kanan) bersama suaminya, Muhammad Arid Ariffin membersihkan rumah mereka berikutan banjir kilat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2020.

“Sekali buka pintu, memang habis air masuk banyak. Saya tolak air dari depan dan suami tolak air dari belakang (pintu dapur).

“Tapi kami tak mampu nak tolak sebaliknya air pula tolak kami. Malah ini pengalaman banjir pertama dalam hidup saya,” katanya.

Bagi Mas Lizana Ahmad, 46, kejadian banjir kali ini bukan kali pertama dialaminya dan sebab itu dia dan keluarga lebih bersedia untuk menghadapi bencana alam itu.

Penduduk, Mas Lizana Ahmad (kanan) bersama suaminya, Zulkifli Seman membersihkan rumah mereka berikutan banjir kilat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2020.

“Saya tak banyak mengemas pun sebab sudah tahu kawasan sini memang selalu berlaku banjir. Memang kita kena sentiasa bersedia.

“Kali terakhir rumah saya dinaiki banjir pada 2013 dan kali ini air naik hanya sejengkal saja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

+ posts