Home Ekonomi Malindo Air tidak salah guna faedah Perkeso

Malindo Air tidak salah guna faedah Perkeso

KUALA LUMPUR – Malindo Air hari ini menafikan syarikat itu menyalahgunakan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebaliknya memaklumkan semua bantuan yang diterima telah diagihkan sepenuhnya kepada kakitangannya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Malindor Air berkata, di bawah Program Pengekalan Pekerjaan (ERP), syarikat itu menerima sejumlah RM1.27 juta pada April 2020, yang dikreditkan dari Perkeso pada pertengahan Mei 2020 dan disalurkan kepada 2,112 kakitangan.

Sebanyak RM1.49 juta lagi diterima pada akhir Jun 2020, juga dikreditkan kepada 2,478 kakitangan, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Malindo menjelaskan apabila Perkeso menghentikan ERP dan menggantinya dengan Program Subsidi Upah ( PSU), hanya 196 kakitangan yang mendapat manfaat.

Malindo Air berkata, ia menerima sejumlah RM235,200 pada bulan Jun dan Julai 2020, yang mana diserahkan oleh Perkeso pada akhir Ogos dan September 2020.

Menurutnya, Malindo Air telah memastikan kakitangan-kakitangan yang mendapat manfaat daripada kedua-dua skim tersebut dikekalkan selama lebih dari tiga bulan, selaras dengan peraturan yang ditetapkan.

Dalam kenyataan tersebut, Malindo berkata, sebelum berlakunya pandemik Covid-19, pendapatan bulannya adalah sebanyak RM200 juta, yang digunakan untuk membayar 5,000 kakitangannya dengan kos RM40 juta sebulan.

Namun, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Mushafiz Mustaza Bakri, sejak pandemik Covid-19 berlaku, syarikat itu tidak menggantung hampir semua pesawatnya sejak bulan Mac lalu.

Keadaan itu menyebabkan kewangan syarikat terjejas, apatah lagi pendapatan semasanya hanya 7.5% daripada situasi pra- pandemik .

Oleh kerana penyusutan besar dalam aliran tunainya disebabkan pandemik ini, Malindo Air perlu melakukan pengurangan kos secara besar-besaran untuk kekal bertahan.

Malindo Air mengurangkan kapal terbangnya sebanyak 50% dengan memindah sejumlah 20 pesawat.

Dengan kaedah itu, syarikat dapat melakukan penjimatan kira-kira RM20 juta.

Malah, ia terpaksa meminta penangguhan dan merundingkan semula kontrak dengan sebilangan besar penyedia perkhidmatan, termasuk penyewa pesawat dan lapangan terbang.

Malindo Air menegaskan walaupun telah mengambil banyak langkah seperti skim pemberhentian secara sukarela (VSS) untuk 349 kakitangannya dan skim jangka panjang gaji tidak berbayar (LTU) untuk 439 juruterbang dan kru kabinnya, ia masih belum nampak prospek untuk memulakan operasi seperti sedia kala.

Sebaliknya, syarikat penerbangan ini terpaksa memberhentikan lagi 1,861 orang kakitangan untuk memastikan ia terus beroperasi. – MalaysiaGazette