Home Nasional Siapkan segera kerja-kerja di Jalan Sungai Pinang sebelum ada nahas berlaku

Siapkan segera kerja-kerja di Jalan Sungai Pinang sebelum ada nahas berlaku

Keadaan Jalan Sungai Pinang yang didakwa membahayakan pengguna Jalan Raya.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diminta memantau tapak kerja di sebahagian Jalan Sungai Pinang yang didakwa mengancam keselamatan pengguna jalan raya kerana langkah-langkah keselamatan yang diambil tidak mencukupi.

Pada masa yang sama Parti Gerakan Rakyat Malaysia Negeri Pulau Pinang mahu kontraktor yang bertanggungjawab segera menyiapkan projek tersebut untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas susulan daripada kerja penggalian itu.

Difahamkan sejak dua bulan yang lalu, terdapat lubang kecil di tapak kerja penggalian itu namun hanya kira-kira 3 minggu yang lepas, pihak berkuasa memulakan kerja penyelenggaraan di sana.

”Kami dimaklum aduan telah dibuat oleh pengguna sosial media dan telah mendapat maklum balas daripada Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang (JKRPP) melalui sosial media pada minggu lepas.

”Menurut JKRPP, lokasi aduan itu di bawah bidang kuasa MBPP dan kerja-kerja terbabit sedang dilaksanakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang,” kata Sekretariat Gerakan Pulau Pinang

Menurutnya, walau apa pun, keadaan jalan di sana telah mengancam keselamatan pengguna jalan raya, justeru pihak-pihak yang bertanggungjawab, terutama kerjaaan tempatan harus menjalankan kerja pemantauan.

Lagipun, JKRPP telah menyatakan jalan itu di bawah bidang kuasa MBPP.

Pada masa sama, parti itu turut mempersoalkan mana perginya wakil rakyat di kawasan berkenaan.

”Adakah mereka tahu bahawa masalah di sini telah menimbulkan banyak kesulitan kepada penduduk tempatan? Penduduk tempatan di sini ingin tahu bilakah projek ini akan siap? Kita semua berharap agar pihak kerajaan negeri dapat memberi penjelasan dalam isu ini,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun pihak berkuasa telah meletakkan halangan dan lampu amaran di tapak kerja penggalian itu namun pemasangan peralatan keselamatan jalan raya adalah tidak mencukupi dan terlalu dekat dengan tapak berkenaan.

Ini menimbulkan keadaan bahaya dan akan menyebabkan kemalangan jika pengguna jalan raya tidak sempat untuk menghentikan kenderaan mereka.

“Jadi demi mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya, kami berharap agar kerajaan Pakatan Harapan yang diketuai DAP dapat melakukan kerja dengan cekap, menyiapkan kerja berkenaan dengan secepat mungkin seperti mana jaminan yang diberikan sebelum ini. – MalaysiaGazette