Home Utama 15,000 penjawat awam dapat khidmat kaunseling akibat Covid-19

15,000 penjawat awam dapat khidmat kaunseling akibat Covid-19

Mohd Khairul Adib Abd Rahman

KUALA LUMPUR – Seramai 15,000 penjawat awam mendapatkan perkhidmatan kaunseling kerana terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) dilaksanakan sehingga September 2020.

Jumlah itu adalah antara 64,400 orang secara keseluruhan yang mendapatkan perkhidmatan psikologi, demikian Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman memetik statistik daripada Mental Health Psychososial Support Services (MHPSS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kesihatan mental penjawat awam jelas beliau, amat penting kerana ia mempunyai kaitan dengan kesan terhadap prestasi kerja mereka.

“Akibat daripada situasi pandemik Covid-19 terdapat individu yang terasa terganggu atau terkesan apabila berdepan dengan pelaksanaan PKP dalam kehidupan sehingga menjejaskan keadaan psikologi diri.

“Sebagai contoh terdapat individu mengalami kegelisahan, ketakutan, dan terasing apabila mengamalkan penjarakan fizikal.

“Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan berkesan, ia boleh mencetuskan reaksi negatif kepada fisiologi tubuh badan individu yang mana cenderung mengalami stress, jatuh sakit dan mengalami penurunan kefungsian kognitif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bagi merasmikan Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam kali ke-24 anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam menerusi FB Live Jabatan Perkhidmatan Awam pagi ini.

Persidangan berkenaan bertemakan ‘Norma Baharu Perkhidmatan Psikologi dan Intervensi Digital’.

Terdahulu beliau memaklumkan persidangan ini julung kali diadakan secara dalam talian, berikutan pelaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya.

Mengulas lanjut beliau menambah, perkhidmatan psikologi pada waktu ini tidak lagi 100 peratus bergantung dengan kaedah fizikal, sebaliknya bimbingan kaunseling misalnya boleh dilaksanakan secara alam maya.

Kaedah ini, katanya lagi, seiring dengan norma baharu yang perlu diterapkan secara tidak langsung memberi kelebihan penjimatan masa dan kos.

Walau bagaimanapun beliau tidak menolak terdapat situasi tertentu yang memerlukan perkhidmatan psikologi dilakukan secara konvensional.

“Penyampaian perkhidmatan psikologi secara intervensi digital seperti bimbingan, kaunseling psikoterapi dan penilaian psikologi disediakan bagi membantu pelanggan mendapatkan perkhidmatan dengan segera, terutamanya dalam kes kecemasan.

“Penyampaian perkhidmatan secara digital juga, membolehkan pelanggan mendapat khidmat nasihat, sokongan atau intervansi tanpa dibatasi oleh faktor geografi, masa kos atau fizikal.

“Dalam situasi tertentu penyampaian perkhidmatan psikologi secara konvensional masih relevan untuk dipraktikkan mengikut kesesuaian masa dan keperluan individu,”jelas beliau.

Sehubungan itu, Mohd Khairul berharap persidangan psikologi yang akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini akan menjadi pentas khasnya bagi pegawai psikologi untuk mengenalpasti alternatif intervensi baru yang bersesuaian, efektif dan bermanfaat kepada semua pihak.- MalaysiaGazette