Home Nasional 5 lagi kluster baharu Covid-19 dikesan KKM

5 lagi kluster baharu Covid-19 dikesan KKM

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFIQ HAMBALI, 30 OKTOBER 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan lima lagi kluster baharu Covid-19 hari ini.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah apabila memberitahu, lima kluster baharu itu ialah Kluster Sutera, Kluster Ria-30, Kluster Tamar, Kluster Intan dan Kluster Danau.

Beliau berkata, bagi Kluster Sutera indeks bagi kes dikesan daripada kes ke 35,499 dan kes ke 35,500 yang dikenalpasti positif Covid-19 hasil saringan individu-individu bergejala pada 2 November lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 13 lagi kes positif Covid-19 dan sehingga 5 November 2020 pukul 12 tengah hari, sejumlah 32 individu telah disaring, di mana 15 kes dikesan positif (15 kes baharu), enam individu dikesan negatif, manakala 11 individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Bagi Kluster Ria-30 pula, Noor Hisham berkata, kluster tersebut dikesan hari ini selepas KKM menjalankan saringan terhadap 254 individu dimana 11 kes dikesan posif Covid-19 dengan dua kes baharu.

Katanya, kesemua kes dalam kluster berkenaan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Intan di Sepanggar, Sabah.

Sebanyak 121 individu didapati negatif bagi kes ini manakala, 122 individu lagi masih menunggu keputusan.

Untuk Kluster Tamar pula, indeks bagi kes berkenaan dikesan melibatkan daerah Petaling di Selangor.

Ujarnya, sejumlah 137 individu telah disaring di mana 10 kes dikesan positif Covid-19 (1 kes baharu) manakala, 57 individu dikesan negatif dan 70 lagi masih menunggu keputusan.

Sementara itu, bagi Kluster Intan yang melibatkan daerah Timur Laut di negeri Pulau Pinang, indeks bagi kluster itu adalah dari kes ke- 30,788 yang merupakan seorang bukan
warganegara dan telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan sebelum pulang ke negara asal pada 29 Oktober lepas.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak lapan lagi kes positif wabak berkenaan dengan ksemua kes dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

“Sembilan kes dikesan positif Covid-19 iaitu tiga kes baharu,
35 individu dikesan negatif manakala 54 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Akhir sekali katanya, untuk Kluster Danau ia melibatkan daerah Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan indeks bagi kes itu dikesan menerusi individu bergejala pada 27 Oktober lepas.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak tujuh lagi kes positif Covid-19 dengan kesemua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Sehingga 5 November 2020 pukul 12 tengahari, sejumlah 82 individu telah disaring, di mana lapan kes dikesan positif Covid-19 iaitu empat kes baharu manakal 40 individu dikesan negatif dan 34 individu masih menunggu keputusan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

+ posts