Home Nasional Akta Pembangunan Kampung Baru penting kekalkan hak milik Melayu

Akta Pembangunan Kampung Baru penting kekalkan hak milik Melayu

Tan Sri Annuar Musa menyampaikan Bantuan Makanan Asas kepada pemandu teksi di Kuala Lumpur yang layak secara pandu-lalu di Wisma Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 5 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk mewujudkan Akta Pembangunan Kampung Baru bagi menggantikan pemansuhan Akta Penempatan Pertanian Melayu (MAS) kini pada peringkat akhir sebelum dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, akta baharu itu perlu diwujudkan susulan Akta MAS tidak lagi relevan sejak kewujudan Wilayah Persekutuan.

“Kita di peringkat akhir akta yang khusus menggantikan Akta MAS dan ia tidak boleh lagi terpakai sejak kewujudan Wilayah Persekutuan.

“Kekosongan yang ditinggalkan oleh Akta MAS itu perlu ada, jadi kementerian sudah bersetuju dan kita kita sudah masuk peringkat akhir, semalam pun saya buat mesyuarat.

“Kita ada Akta Pembangunan Kampung Baru bagi menggantikan pemansuhan Akta MAS dan dalam akta itu ada beberapa peruntukan tertentu yang akan menaikkan lagi nilai tanah-tanah di Kampung Baru,” katanya pada sidang media di Yayasan Wilayah Persekutuan hari ini.

Annuar berkata, Akta Pembangunan Kampung Baru itu penting untuk memastikan tanah kampung tradisi itu kekal dimiliki oleh orang Melayu.

“Bila ada sekatan-sekatan tertentu tanpa menyentuh pentingnya tanah Kampung Baru kekal dimiliki oleh orang Melayu,” jelasnya.

Sementara itu, pembangunan Kampung Baru secara pemecahan kawasan kepada lebih 40 parcel, sekurang-kurangnya lima ekar bagi setiap parcel boleh menaikkan nilai tanah itu sendiri susulan kedudukannya di dalam Segi Tiga Emas.

“Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam dan bekas Menteri Wilayah) ada tegur saya kalau lima ekar nak buat apa? Lima ekar di kawasan Kampung Baru ini nilainya hampir RM250 juta, satu ekar RM50 juta, dibangunkan kawasan lima ekar ini dia punya DGV sahaja lebih RM2 bilion, jadi tak kecil.

“Kalau kita lihat Segi Tiga Emas di sebelah sana mana ada buat sampai lima ekar.

“Orang buat setengah ekar, satu ekar dan satu ekar setengah. Jadi kita boleh bangunkan dalam parcel lima ekar, secara berperingkat-peringkat sudah cukup baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette