PROSES pembentangan Belanjawan 2021 yang bakal dibentang tidak beberapa lama lagi perlu memberi keutamaan khusus bagi menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran melalui dalam talian di semua sekolah dan IPT dalam negara kita. Peruntukkan kewangan perlu diberikan supaya setiap guru, pensyarah serta para pelajar dapat menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran melalui dalam talian ini buat selama-lamanya dan bukan hanya mengunakannya ketika hadapi waktu kecemasan sahaja seperti yang sedang kita lalui sekarang akibat daripada penularan Novel Koranavirus (Covid-19). Segala rungutan yang sering kedengaran sepanjang perlaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian ini seperti masalah kekurangan kemudahan untuk mengunakan internet seperti komputer serta masalah ekses kepada internet itu sendiri perlu diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan melalui proses Belanjawan 2021 ini.
Pihak kerajaan khususnya pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu merangka satu polisi jangka panjang dalam negara kita untuk jadikan proses pengajaran dan pembelajaran melalui dalam talian sebagai dasar sistem pendidikan negara kita dan digunakan buat selama-lamanya demi kebaikan semua pihak terutamanya kebaikan para pelajar. Walaupun sudah terdapat sedikit usaha yang diambil oleh pihak kerajaan sejak beberapa tahun yang lalu bagi melaksanakan sepenuhnya proses pengajaran dan pembelajaran melalui dalam talian ini namun tidak semua pihak benar- benar menggunakannya. Hanya apabila keadaan sudah menjadi terpaksa akibat daripada penularan wabak virus Covid-19 bermula pada awal tahun ini, barulah semua pihak mengunakan pelbagai jenis kemudahan aplikasi dan teknologi sedia ada untuk menjalankan aktiviti harian dan ini termasuklah melakukan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian ini.
Pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran melalui dalam talian ini menjadi satu keperluan mendesak di kala seluruh dunia termasuklah Malaysia sedang bergelut dengan masalah penularan wabak Covid-19 yang amat berbahaya pada ketika ini. Akibat daripada penularan wabak Covid-19 ini, kerajaan diserata negara termasuklah Malaysia terpaksa mengambil langkah drastik bagi membendung penularannya. Antara langkah paling drastik yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia ialah dengan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac yang lalu. Antara intipati utama PKP ialah penutupan semua sekolah dan institusi pengajian tinggi
(IPT) dalam negara. Walaupun sekolah dan IPT dalam negara ditutup, pihak kerajaan telah meminta pihak pengurusan sekolah dan IPT melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran melalui dalam talian.
Baru-baru ini juga pihak kerajaan telah mengumumkan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran di IPT akan dilaksanakan sepenuhnya melalui dalam talian sehingga hujung tahun 2020 kecuali untuk program dan subjek akademik tertentu. Penularan wabak Covid-19 serta perintah dan arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan ini sekaligus menjadikan sistem pengajaran dan pembelajaran dalam talian ini menjadi penting yang perlu dipelajari dan dikuasai sepenuhnya oleh semua pihak yang berkaitan didalam sektor pendidikan
dalam negara kita iaitu pihak guru, pensyarah serta para pelajar mereka.
Perlaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran melalui dalam talian ini perlu dilaksana sepenuhnya dalam negara kita bukan sahaja bagi membendung penularan wabak Covid-19 ataupun sebarang jenis wabak pada masa akan datang malah kerana ianya banyak memberi faedah dan manfaat kepada semua pihak terutamanya kepada para pelajar. Proses pengajaran dan pembelajaran melalui dalam talian ini boleh memberi banyak kemudahan kepada para pelajar untuk melakukan proses pembelajaran mereka secara fleksibel tanpa perlu bergerak ke banyak tempat seperti bergerak ke sekolah ataupun ke kampus universiti semata-mata untuk mendengar sesi pengajaran daripada guru ataupun pensyarah mereka. Dengan kurangnya aktiviti bergerak secara fizikal ini ia dapat meringankan beban para pelajar itu sendiri didalam proses pembelajaran mereka.
Tanpa banyak pergerakan, ia juga dapat menjamin aspek keselamatan dan kesihatan diri pelajar itu sendiri. Ibu bapa ataupun penjaga juga tidak perlu merasa risau terhadap tahap keselamatan dan kesihatan diri anak-anak mereka yang perlu bergerak ke sekolah ataupun ke kampus setiap hari. Para pelajar juga dapat menjimat wang saku mereka kerana mereka tidak perlu berbelanja wang bagi bergerak ke sekolah ataupun untuk ke kampus serta membeli sarapan dikantin ataupun kedai makan. Proses pengajaran dan pembelajaran melalui dalam talian ini juga dapat mengurangkan pengunaan bahan-bahan seperti kertas kerana segala tugasan yang diberikan oleh guru ataupun pensyarah dapat dilaksanakan melalui alam maya ataupun secara online. Ini dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar serta proses pembaziran kertas.
Pada masa yang sama juga, para pelajar juga dapat didedahkan dengan pelbagai jenis aplikasi dan teknologi terkini yang boleh mengasah bakat dan kemahiran mereka untuk hadapi dunia moden masa kini yang penuh dengan aplikasi teknologi baru. Oleh yang demikian, adalah penting supaya Belanjawan 2021 nanti dapat memberi fokus bagi meningkatkan tahap keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian dalam negara kita.
Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)