KAJANG – Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY), Yap Wen Qing dan naibnya, Tan Li Yuan disoal siasat selama dua jam setengah oleh polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.
Ia berkaitan dengan siasatan mengenai kenyataan pihaknya bertajuk “YDPA (Yang Dipertuan Agong) tidak harus mencampuri hal ehwal negara” pada 13 Ogos lalu.
Kedua-dua mereka hadir ke IPD Kajang sekitar jam 2 petang bersama dua peguamnya, Rajsurian Pillai dan Wan Guai Hui sebelum keluar sekitar 4.45 petang.
Rajsurian berkata, pegawai penyiasat polis, Vekram Sinnayah telah mengambil keterangan kedua-dua anak guamnya dengan penuh profesional dan teratur di bawah Seksyen 4(1) (a) Akta Hasutan 1948 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kedua-dua anak guam menerima panggilan dua tiga hari lepas untuk hadir ke IPD Kajang untuk bantu siasatan kes ini. Pada awalnya ia disiasat dibawah Seksyen 5050 Kanun Keseksaan sebelum ditukar kepada Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan.
“Semasa mengambil keterangan dan siasatan, satu gajet (telefon bimbit) salah seorang anak guam (Wen Qing) telah dirampas untuk sisatan lanjut.
“Oleh kerana kali pertama mereka dipanggil dan diambil keterangan IO (pegawai penyiasat tidak menolak kemungkinan mereka akan diperlukan (tampil semula) sekali lagi sambung keterangan.
“Kalau dapat arahan pihak atasan untuk siasatan lanjut kes ini IO tidak tolak kemungkinan akan dipanggil semula namun berita gembiranya adalah tiada tangkapan terhadap kedua-dua anak guam kami,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Rajsurian lagi, pihaknya dimaklumkan setakat 2.15 petang tadi, sebanyak 42 laporan polis diterima dari seluruh negara berhubung kenyataan UMANY yang didakwa mencabar kuasa YDPA.
Malah jelasnya anakguam dirakam keterangan di IPD Kajang oleh kerana salah satu laporan dibuat di situ.
“IO juga tidak tolak kemungkinan kes mungkin dipindahkan ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman (USJT) jika kes memerlukan siasatan lebih besar.
“Maka kami akan menunggu dan melihat tindakan lanjut selepas ini,” tegasnya.-MalaysiaGzette