KUALA LUMPUR- Penganut Hindu di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan mengikuti sesi upacara sembahyang sempena sambutan Deepavali pada hari pertama sahaja.
Bagaimanapun, upacara sembahyang di kuil yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan.
Tambah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pergerakan merentas mukim, daerah dan negeri dari kawasan PKPB dan PKPD untuk tujuan balik kampung tidak dibenarkan.
“Aktiviti jualan, perniagaan hanya di premis yang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan atau mana-mana pihak berkuasa lain sahaja.
“Bagaimanapun, aktiviti jualan secara atas talian adalah digalakkan,” katanya semasa sidang media harian hari ini.
Berikut adalah prosedur operasi standard (SOP) sambutan perayaan Deepavali di kuil dalam kawasan PKPP dan PKPB:-
- Menyediakan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan dan saringan gejala berkaitan COVID-19 seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas.
- Kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera atau direkodkan di dalam buku kehadiran.
- Penganut yang menghidap penyakit kronik, warga emas dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak digalakkan hadir.
- Upacara sembahyang hendaklah mematuhi sepenuhnya SOP Pembukaan Rumah Ibadat yang telah dikeluarkan dan tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa tertakluk kepada keluasan ruang Rumah Ibadat (Kuil) dengan penjarakan fizikal.
- Sesi upacara sembahyang perlu diadakan bermula jam 7.00 pagi sehingga jam 12.00 tengahari dengan pembahagian sebanyak 5 sesi sahaja (30 minit setiap sesi) dan diselangi dengan operasi sanitasi selama 30 minit sebelum memulakan sesi baharu.
- Manisan perlu diagihkan secara berbungkus (packing) kepada para penganut dan terus bersurai selepas selesai upacara sembahyang.
Sambutan Deepavali dalam rumah Kediaman di kawasan PKPP dan PKPB:-
- Bagi sambutan perayaan di rumah kediaman bertanah dalam kalangan keluarga terdekat perlu tidak melebihi 20 orang pada satu-satu masa.
- Manakala bagi rumah kediaman strata dengan keluasan kurang daripada 1500kps (tidak melebihi 10 orang) dan bagi keluasan melebihi 2500kps (tidak melebihi 15 orang) pada satu-satu masa.
- Ahli Keluarga / Individu digalakkan memakai pelitup muka, memastikan penjarakan fizikal sekurang- kurangnya 1 meter dan sentiasa mengutamakan kebersihan diri. (sediakan hand sanitizer/sabun pencuci tangan)
Sambutan Deepavali dalam rumah kediaman di kawasan PKPD:-
- Sambutan perayaan dibenarkan bagi seisi keluarga dalam rumah yang sama sahaja dengan memastikan penjarakan fizikal, kebersihan diri dan mengelakkan 3C iaitu bersesak (crowded area), ruang tertutup (confined area) dan juga perbualan jarak dekat (close conversation).
- Melaksanakan sanitasi secara berkala terutamanya terhadap meja makan dan permukaan yang terdedah kepada banyak sentuhan.
- Aktiviti ziarah dikawasan PKPD adalah tidak dibenarkan.
Aktiviti jualan dan perniagaan di kawasan PKPD juga tidak dibenarkan.-MalaysiaGazette