KUALA LUMPUR – Penjawat- awam yang diberi kuasa untuk menjalankan tugas penguatkuasaan diingatkan sentiasa memiliki sifat ‘pematuhan diri’ bagi mengelak tanggapan negatif daripada masyarakat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, aspek pematuhan diri penting bagi penjawat awam yang menyarung pakaian sebagai penguatkuasa undang-undang kerana mereka memikul amanah dalam memastikan rakyat dapat hidup aman dan sentosa.
Katanya, aspek pematuhan diri itu perlu ada dalam diri setiap masyarakat juga kerana jika tidak sesuatu yang hendak ditegah pasti tidak akan menemui kejayaan terutama jika melibatkan rasuah.
“Bukan sahaja kepada anggota barisan hadapan tapi seluruh anggota kerajaan yang ada dalam negara ini, kefahaman harus diberikan bukan sahaja kepada anggota kita tapi kepada rakyat amatlah penting sekali.
“Kalau tak ada orang yang memberi (rasuah) sudah tentu tidak akan ada yang menerima. Kenapa ada yang menerima sebab ada ruangnya, kenapa ada ruang sebab tidak cukup dari segi penguatkuasaan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi wawancara khas sempena Pelancaran Buku Pelan Antirasuah Organisasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2020-2024 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook, hari ini.
Hamzah berkata, rakyat perlu kembali untuk memberikan fokus ketika negara sedang berusaha menangani pandemik Covid-19.
Ujarnya, aspek pematuhan diri wajar diberikan penekanan khususnya kepada diri sendiri tanpa menuding jari kepada pihak lain.
Tambah beliau, perlakuan rasuah sememangnya ditegah oleh semua agama kerana ia boleh meninggalkan kesan yang tidak baik kepada individu dan juga masyarakat.
Hamzah berkata, menerusi inisiatif terhadap penerbitan Buku Pelan Antirasuah Organisasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2020-2024, oleh kementeriannya diharap boleh menjadi panduan kepada penjawat awam khususnya yang terlibat dalam penguatkuasaan undang-undang.
Katanya, buku berkenaan diterbitkan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pelbagai elemen pengajaran diselitkan di dalamnya dengan intipati nasihat yang terpilih.
Katanya, dengan adanya buku tersebut ia juga boleh menjadi rujukan kepada penjawat awam agar mereka benar-benar memahami aspek pematuhan diri dalam tugas masing-masing. – MalaysiaGazette