KUALA LUMPUR- Susulan peningkatan kes serta penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga kawasan iaitu Pusat Tahanan Sementara Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters penjara Taman Wira, Sandakan di Sabah.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu akan berkuatkuasa 6 sehingga 19 November ini.
Jelasnya, setakat 4 November lalu, saringan KKM di Pusat Tahanan Sementara Tawau merekodkan 440 kes positif Covid-19 yang melibatkan tahanan dan kakitangan pusat berkenaan.
PKPD di kawasan itu akan melibatkan 1,707 inidividu yang terdiri daripada 1,603 tahanan dan 104 kakitangan.
Manakala PKPD di Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan terpaksa dilaksanakan ekoran 111 daripada 699 saringan yang dilakukan setakat 5 November lalu adalah positif Covid-19.
“Atas nasihat dan penilaian risiko yang telah dilaksanakan oleh KKM, sidang khas MKN hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di di Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan berkuatkuasa 6 November 2020 sehingga 19 November 2020,” katanya dalam sidang media harian hari ini.
Pelaksanaan PKPD itu akan melibatkan seramai 1,605 individu yang merangkumi 1,308 orang tahanan dan 297 orang kakitangan.
Dalam sidang media yang sama, Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan lapan PKPD yang melibatkan satu lokaliti di Kedah dan tujuh di Sabah.
Jelasnya, PKPD Penjara Pokok Sena, Kedah akan ditamatkan mengikut jadual pada 7 November ini selepas tiada lagi kes positif baharu direkodkan.
Selain itu PKPD di enam lokaliti di Semporna iaitu Kampung Bangau-Bangau Darat; Kampung Bangau-Bangau Hujung; Kampung Halo dan Kampung Ubian; Kampung Panji; Kampung Air; Kampung Selamat; Kampung Simunul; dan Kampung Pinggir Bakau akan ditamatkan esok.
PKPD Kampung Pengkalan, Kunak juga akan ditamatkan esok, kata Ismail Sabri lagi.
Ini susulan penurunan kes-kes aktif di lokaliti-lokaliti berkenaan dan keadaan berada di tahap terkawal.
Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan tempoh PKPD Anjung Teduh Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah terpaksa dilanjutkan sehingga 20 November ini.
“Sehingga 4 November 2020, KKM telah melaksanakan sebanyak 2,615 saringan dan merekodkan sebanyak 56 kes kumulatif Positif Covid-19 di kawasan ini.
“Daripada jumlah itu sebanyak 28 kes telah sembuh sepenuhnya manakala baki hanya tinggal 28 lagi kes aktif,” katanya lagi.- MalaysiaGazette