PARIT – Seorang warga emas yang ditahan selepas merempuh dua Lans Koperal polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah semalam direman empat hari bermula hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Perak Tengah DSP Nik Rosdi Nik Yahya berkata suspek yang berumur 64 tahun direman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Katanya siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan siasatan turut dijalankan oleh Bahagian Siasatan & Perundangan Trafik, IPD Perak Tengah atas kesalahan memandu melulu sehingga menyebabkan kecederaan.
Motif suspek masih dalam siasatan. Keluarga suspek turut hadir ke balai selepas dimaklumkan mengenai kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Nik Rosdi berkata dua anggota iaitu seorang lelaki dan wanita berumur masing-masing berumur 26 dan 32 tahun hanya menerima rawatan pesakit luar di Hospital Changkat Melintang.
— BERNAMA