Friday, November 29, 2024
Home Belanjawan 2021 Belanjawan 2021: Bantuan OKU, warga emas dinaikkan

Belanjawan 2021: Bantuan OKU, warga emas dinaikkan

Reaksi ceria Orang kurang upaya (OKU), Muhammad Helmi Firdaus Abdul Halid, 23, semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tandas Awam, Puchong Perdana, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 17 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menambah baik kebajikan golongan rentan (kumpulan mudah jatuh sakit), termasuk dengan menaikkan kadar bantuan beberapa bantuan bulanan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kadar bantuan orang kelainan upaya (OKU) tidak berupaya bekerja dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

“Pertama, kadar Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja dinaikkan daripada RM250 kepada RM300. Kedua, kadar Bantuan Warga Emas dan Bantuan Penjagaan OKU dan Pesakit Kronik Terlantar dinaikkan daripada RM350 kepada RM500.
“Ketiga, kadar Elaun Pekerja OKU dinaikkan daripada RM400 kepada RM450; Keempat, kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin dinaikkan daripada RM100 seorang anak dengan maksimum RM450 sekeluarga, kepada RM150 seorang anak berumur tujuh tahun hingga 18 tahun atau RM200 seorang anak berumur enam tahun dan ke bawah dengan maksimum RM1,000 sekeluarga.
“Semoga peningkatan kadar ini membantu dengan penjagaan anak-anak serta nutrisi makanan.
“Contohnya, jika Puan Safiah mempunyai tiga orang anak dengan dua daripadanya berumur enam tahun dan ke bawah dan suaminya OKU bekerja, keluarga beliau akan mendapat bantuan RM1,000 sebulan,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini. – MalaysiaGazete