KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan buat pertama kalinya telah mengadakan siri jelajah dan sesi konsultasi ke seluruh negara merentasi 14 buah negeri, lebih 38 sesi dialog melibatkan lebih 40 bidang perniagaan dan perusahaan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama kepimpinan Kementerian Kerajaan Persekutuan, kepimpinan Kerajaan Negeri, captains of industry, ahli-ahli akademik, badan-badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin parti politik dan yang paling utama pelbagai lapisan rakyat Malaysia dari belia, wanita, ibu bapa hingga warga emas.
“Saya ingin merakamkan jutaan perhargaan kepada semua pihak yang telah meluangkan masa dan mengemukakan idea serta cadangan.
“Sehubungan itu, Belanjawan 2021 yang merupakan peringkat kelima strategi 6R iaitu Revitalize atau memperkasa, dirangka berdasarkan tiga matlamat induk iaitu pertama adalah Kesejahteraan Rakyat, kedua adalah Kelangsungan Perniagaan dan ketiga adalah Ketahanan Ekonomi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Tengku Zafrul menambah, kesemua matlamat itu merupakan kesinambungan kepada pakej Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana dan Kita Prihatin.
Jelas beliau, selain daripada pendekatan yang lebih bersasar, kerajaan juga akan mengimbangi kemampanan kewangan kerajaan, keseimbangan pembangunan antara wilayah dan bandar, serta mengangkat nilai-nilai murni membentuk ekonomi yang kita idamkan melalui belanjawan ini. – MalaysiaGazette
Belnjawan syiok sendiri x bnyk mmbtu