KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah membenarkan sebanyak 3,197 pasangan untuk bernikah antara 14 Oktober hingga 3 November ini.
Dalam satu kenyataan, Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kebenaran tertinggi ialah di Petaling iaitu 917 pasangan diikuti Hulu Langat (708), Gombak (530), Klang (414) dan Hulu Selangor (182).
Manakala Sepang pula katanya, seramai 171 pasangan, Kuala Langat (155), Kuala Selangor (84) dan Sabak Bernam (36).
“Kita jangka jumlahnya akan terus meningkat. Dalam tempoh sama, seramai 1,750 pasangan sudah bernikah di pejabat agama Islam daerah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Shahzihan menambah, pasangan juga boleh menjalani upacara itu sehingga 31 Disember depan.
Bermula 2 November lalu, JAIS membenarkan upacara akad nikah di pejabat agama seluruh negeri dengan menetapkan beberapa syarat ekoran membendung penularan Covid-19.
Antara syarat-syarat tersebut adalah pemohon lelaki dan perempuan perlu mendapat kebenaran berkahwin di bawah Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 dari Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).
Syarat lain yang perlu juga dipatuhi adalah hanya tiga orang dibenarkan hadir iaitu pengantin lelaki dan perempuan serta wali selain, hanya lima upacara akad nikah dibenar dalam satu hari, dari Isnin hingga Jumaat (hari bekerja).
Begitu juga, kebenaran diberi kepada pasangan dalam Selangor atau pihak lelaki atau perempuan dari luar Selangor dengan tanggungjawab mendapat kebenaran rentas daerah atau negeri serta waktu pelaksanaan akad nikah adalah antara pukul 9 pagi hingga 4 petang. – MalaysiaGazette