KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan memberi penekanan serius terhadap pembangunan belia dan sukan jelas menunjukkan cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diambil kira sebagai salah satu strategi dalam pembentangan Belanjawan 2021.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, inisiatif-inisiatif yang memanfaatkan belia telah disentuh secara menyeluruh merentasi semua kementerian khususnya di bawah KBS.
Katanya, Belanjawan 2021 juga menunjukkan kerajaan mendengar keluh kesah rakyat akibat daripada penularan pandemik Covid-19 dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya.
Menurut Reezal Merican, berdasarkan pengumuman itu KBS akan menumpukan program perantisan yang dijuarai oleh kementerian diberi perhatian serius dengan penyediaan insentif kepada majikan swasta sebanyak RM1,000 sebulan sehingga tiga bulan bagi setiap graduan baharu.
“Pelbagai insiatif yang menyentuh perihal belia juga turut disentuh dalam Strategi Menjana dan Mengekalkan
Pekerjaan yang turut merangkumi program peningkatan kemahiran dan latihan semula atau reskilling and upskilling,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Reezal Merican berkata, inisiatif mySTEP atau Short-term Employment Program dengan peruntukan sebanyak RM700 juta yang akan menawarkan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak secara langsung juga pasti akan memanfaatkan belia.
Menyentuh mengenai soal pembangunan sukan, Reezal Merican turut mengucapkan terima kasih kerana usaha membangun dan memulih ekosistem sukan pasca pandemik Covid-19 diberi perhatian yang wajar.
“Secara keseluruhannya, saya amat bersyukur kerana Belanjawan
2021 ini telah dapat dirangka dengan iltizam politik yang cukup berhemah, mengambil kira keluhan dan keresahan rakyat serta pendekatan-pendekatan bersasar yang memberi
impak tinggi.
“Saya mewakili KBS merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan dan kesungguhan Kementerian Kewangan menyediakan peruntukan yang realistik dengan mengambil kira keperluan semasa.
“Saya yakin Belanjawan 2021 ini telah memberi satu kelegaan kepada segenap rakyat Malaysia lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran penularan wabak Covid-19 di bawah kepimpinan Perdana Menteri,” tambahnya.
Reezal Meerican turut menggesa agar Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan itu disokong sebulat suara semua ahli-ahli Parlimen bagi memastikan matlamat kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi negara terlaksana. – MalaysiaGazette