Home Belanjawan 2021 SME Bank sedia pembiayaan RM300j

SME Bank sedia pembiayaan RM300j

KUALA LUMPUR – Bagi menggalakkan perniagaan berstatus mikro dan kecil dalam kalangan Bumiputera beranjak ke kategori yang lebih tinggi, SME Bank akan menyediakan kemudahan pembiayaan Skim Lestari Bumi dengan dana berjumlah RM300 juta.

Untuk membantu kewangan PKS yang berurusan dalam pembekalan kepada kerajaan atau syarikat milik kerajaan (GLC), kerajaan akan memperkenalkan platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional ataupun National Supply Chain Finance Platform.

Platform yang diberi nama “JanaNiaga” ini akan memanfaatkan PKS yang mengalami masalah aliran tunai disebabkan tempoh pembayaran invois yang lama dan membantu PKS untuk mendapat pinjaman daripada institusi kewangan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, Platform JanaNiaga akan diterajui oleh EXIM Bank dengan penglibatan beberapa institusi kewangan.

Sebanyak RM300 juta disediakan oleh EXIM Bank untuk menggerakkan JanaNiaga yang akan dilaksanakan bersama Petronas dan Telekom Malaysia dan bakal diperluas kepada GLC lain, kementerian dan agensi-agensi kerajaan pada masa depan.

Pembiayaan secara peer-to-peer atau P2P di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti merupakan antara inovasi kewangan alternatif yang telah menjana pembiayaan melebihi RM900 juta kepada PKS.

Bagi menyokong platform P2P terutamanya yang berasaskan pembiayaan invois, RM50 juta akan diperuntukkan secara pelaburan padanan.

Seterusnya, pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.2 bilion disediakan melalui TEKUN, PUNB, Agrobank, BSN dan institusi kewangan lain.

Ini termasuk tambahan sebanyak 110 juta ringgit kepada Micro Enterprises Facility di bawah BNM bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pekerja gig dan yang bekerja sendiri serta menyokong pelaksanaan program iTEKAD.

Katanya, program iTEKAD yang telah dilancarkan pada Mei 2020 dengan menggabungkan pembiayaan sosial dan pembiayaan mikro akan memperkasa usahawan mikro dari segmen B40 untuk menjana pendapatan lestari.

Program iTEKAD akan diperluas dengan penyertaan institusi kewangan tambahan dan kerjasama dengan lebih banyak pihak berkuasa agama negeri dan rakan pelaksanaan pada tahun 2021.

Menerusi PUNB pula, RM230 juta disediakan sebagai pembiayaan kepada PKS bagi perbelanjaan modal kerja, peningkatan sistem automasi dan peralatan serta perbelanjaan berkaitan pelaksanaan pematuhan SOP Covid-19.

Setakat ini, sebanyak RM25 bilion jaminan telah diberikan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan.

Katanya, kerajaan akan meningkatkan jaminan sehingga RM10 bilion lagi, dengan RM2 bilion diperuntukkan khusus kepada usahawan Bumiputera.

Untuk syarikat korporat yang terlibat dalam industri berkemahiran tinggi seperti minyak & gas, dan aeroangkasa, jaminan bernilai RM3 bilion dikhususkan di bawah Skim Jaminan Prihatin Danajamin.

Skim ini akan dilanjutkan sehingga tahun 2021 dengan terma dan syarat yang ditambah baik, kata Tengku Zafrul.

Bagi menggalakkan aktiviti pemberian kredit yang teratur dan meningkatkan perlindungan pengguna, Akta Kredit Pengguna akan digubal.

Akta ini menyediakan kerangka kawal selia aktiviti berkaitan pemberian kredit pengguna dan memperkukuh penyeliaan ke atas penyedia kredit bukan bank yang pada masa ini tidak diselia.

Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti akan menerajui usaha menggubal kawal selia penyedia kredit
pengguna. – MalaysiaGazette