
KETUA Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Tan Sri Nor Hisham Abdullah semalam mengumumkan bahawa nilai R-naught (R0) semasa berada dalam lingkungan 1. Dengan nilai ini, kita akan dapat bilangan kes harian yang agak stabil. Nilai R0 bersamaan dengan 1 bermakna 10 orang pesakit akan menyebarkan jangkitan kepada 10 orang lain. Tetapi jika R0 bernilai 0.5, 10 orang pesakit hanya akan menjangkiti 5 orang lain. Jadi jumlah pesakit baru akan meyusut setiap hari. Amat penting bagi kita mensasarkan jumlah R0 kurang dari 1 supaya kita dapat mencapai penurunan jumlah kes harian.
Oleh hal yang demikian, banyak SOP perlu dikaji dan diberi
perhatian yang serius untuk membendung penularan wabak
seterusnya menghentikan kluster-kluster baharu. Ketika ini
di kawasan-kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ramai pekerja yang masih dibenarkan untuk bekerja. Orang ramai juga masih boleh makan di restoran dan kedai-kedai makan. Kita juga lihat, tidak banyak sekatan jalanraya dilakukan termasuk di sempadan-sempadan negeri; tidak seperti waktu mula-mula PKP diperkenalkan.
Data daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa kira-kira 60% kes Covid-19 di negara kita, berkaitan dengan tempat kerja. Ini dibuktikan dengan wujudnya kluster-kluster seperti Kluster Auto, Kluster Telaga dan Kluster Menara. Justeru, SOP tempat kerja perlu dikaji semula dan harus diperketatkan lagi. Bagi sektor yang tidak membolehkan bekerja dari rumah, dicadangkan agar patuh kepada SOP tempat kerja sepanjang masa termasuk pada waktu makan, iaitu tidak berkumpul makan di pantri atau ruang makan pejabat beramai-ramai dalam satu masa. Jangan berkongsi peralatan makan seperti pinggan-mangkuk, cawan dan juga sudu serta garfu. Untuk menunaikan ibadat seperti solat Zohor misalnya, bawa peralatan sendiri seperti sejadah, telekung dan harus mengekalkan jarak fizikal seperti yang dipraktikkan di masjid-masjid dan surau-surau. Majikan hendaklah membenarkan penggiliran pada waktu rehat dan makan serta penggiliran untuk menunaikan ibadat solat.
Walaupun kita dalam kalangan rakan sekerja yang kita jumpa setiap hari, jadikan amalan pemakaian pelitup muka sepanjang masa ketika bekerja terutamanya jika ruangan bekerja kita berhawa dingin dan tertutup. Elakkan bercakap dengan jarak yang dekat atau dalam jangka masa yang lama serta tidak bersentuhan di tempat kerja. Risiko penularan Covid-19 adalah tinggi kerana kebanyakan mereka tinggal di tempat yang padat dan kurang bersih.
Contohnya Kluster pengawal keselamatan Cheras yang mula di kesan di sebuah pusat membeli belah dan kemudiannya menjangkiti rakan-rakan yang tinggal serumah dengan kes indeks. Kluster Setia Alam pula melibatkan penularan di kalangan pekerja-pekerja tapak pembinaan yang tinggal di kediaman yang sama. Majikan perlu bertanggungjawab menyediakan kediaman/asrama yang selesa kepada pekerja-pekerja asing. Langkah kerajaan untuk mewajibkan saringan Covid-19 di
kalangan pekerja asing amat digalakkan. Tetapi berapa kerapkah saringan perlu dilakukan? Mampukah majikan atau pekerja menanggung kos saringan? Bagaimana pula dengan pekerja asing tanpa permit? Sudah pasti mereka tidak berani menyerah diri walaupun mempunyai gejala.
Satu mekanisma yang efektif perlu difikirkan supaya golongan ini tidak dipinggirkan. Sebagai contoh kempen kesedaran Covid-19 dan langkah pencegahan perlu diterangkan di dalam bahasa yang mudah difahami mereka. Bagi penjara pula, kami mohon SOP dikaji secara menyeluruh. Semalam diumumkan kluster baharu iaitu dalam kalangan tahanan di Penjara Sandakan. Kita lihat kluster Tembok, Penjara Alor Setar, Taiping dan juga Kepayan
adalah penyumbang peratusan yang besar setiap hari kepada jumlah kes Covid-19. SOP yang baharu ini bukan sahaja untuk tahanan dan banduan malahan untuk semua kakitangan penjara, polis, petugas serta pegawai-pegawai di mahkamah yang ada kemungkinan terdedah kepada penyebaran wabak. Selain itu, semua logistik berkaitan penjara termasuk pengangkutan dan pembekal bahan mentah juga harus dikaji semula.
Di premis-premis makanan seperti di restoran-restoran, SOP
sedia ada mengkehendaki kita mengimbas QR code, ada had
pelanggan yang makan dalam satu-satu kedai pada satu-satu
masa. Pelanggan juga dibenarkan makan dengan had-had
tertentu di dalam premis serta mengamalkan penjarakan
fizikal. Jika kita imbas kembali, kluster Sivagangga di utara
Semenanjung Malaysia menunjukkan bahawa kedai makan
adalah salah satu tempat yang boleh menyebabkan
penyebaran jangkitan. Keadaan menjadi lebih buruk jika
jangkitan melibatkan super-spreader akibat mutasi virus.
Untuk mengimbangi sektor ekonomi dengan keperluan
pencegahan penyakit, dicadangkan agar di zon-zon merah,
restoran-restoran hanya membenarkan makanan bawa
pulang sahaja. Makan di premis restoran atau kedai makan
tersebut tidak dibenarkan sama sekali.
Kluster Sofi telah membuktikan bahawa penularan Covid-
19 juga berlaku di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Justeru
dicadangkan agar semua sekolah di seluruh negara ditutup
buat sementara waktu dan para pelajar meneruskan pengajaran dan pembelajaran dari rumah. Ini juga memberi peluang yang sama bagi pelajar-pelajar yang terlibat dengan penutupan sekolah seperti di Lembah Klang, Sabah dan juga kawasan PKPB terbaharu iaitu di Seremban untuk sama-sama mempunyai pendedahan pengajaran dan pembelajaran dengan rakan-rakan seusia mereka di tempat-tempat lain yang masih meneruskan pengajian secara bersemuka. Hal ini kerana pelajar-pelajar ini mungkin akan tertekan dan berasa iri hati dengan rakan-rakan mereka di tempat lain terutamanya mereka yang bakal menduduki peperiksaan besar seperti SPM dan STPM.
PKPB sekarang membolehkan kedai-kedai termasuk yang menjual barangan ‘non-essential’ dibuka sehingga jam 10 malam. Kami berpendapat bahawa kedai-kedai boleh diarahkan untuk ditutup lebih awal contohnya pada jam 5 petang. Jika kedai-kedai tidak dibuka, sudah pasti orang ramai tidak akan keluar rumah pada waktu malam. Walaupun masa perniagaan menjadi lebih pendek, para peniaga boleh terus berniaga 24 jam sehari dengan
menggunakan aplikasi atas talian. Peniaga perlu lebih kreatif dalam menghadapi suasana norma baharu. Untuk mengelakkan kesesakan dalam premis, tempahan atas talian atau menggunakan telefon boleh dibuat oleh pelanggan terlebih dahulu dan kemudiannya mengambil barang yang dipesan ataupun penghantaran dibuat menggunakan perkhidmatan penghantaran seperti Lalamove atau Grab. Pelanggan pula boleh mengambil kesempatan ini mengurangkan kekerapan keluar rumah di samping mengurangkan perbelanjaan serta memperbanyakkan
simpanan untuk masa hadapan.
Sesetengah individu berpendapat bahawa PKPB di Lembah Klang dan di Seremban adalah longgar disebabkan banyak kereta di atas jalan serta kurang sekatan jalan raya. Namun begitu, kami berpendapat bahawa masyarakat perlu mengikut SOP yang telah ditetapkan. Walaupun tidak berhadapan dengan sekatan jalanraya yang banyak seperti mula-mula PKP dilaksanakan, masyarakat harus menurut arahan Majlis Keselamatan Negara yang membenarkan maksimum dua orang individu sahaja menaiki sesebuah kenderaan dan tidak sewenang-wenangnya merentas negeri di kawasan PKPB. Sudah hampir lapan bulan sejak
pengumuman pandemik CovidD-19, masyarakat seharusnya
mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang penularan
wabak Covid-19 dan cara-cara pencegahannya. Disiplin diri
yang tinggi selain mengamalkan penjarakan fizikal serta
kebersihan diri mampu mengawal wabak ini seterusnya
menyumbang kepada pengurangan nilai R0.
Oleh: Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani ( Pakar Perubatan Kesihatan Awam) & Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed (Pakar Mikrobiologi Klinikal)
Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia