Home Belanjawan 2021 Belanjawan 2021 iktiraf bakti polis – Hamid Bador

Belanjawan 2021 iktiraf bakti polis – Hamid Bador

Tan Sri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas peruntukan dalam Belanjawan 2021 kepada pasukan keselamatan negara.

Beliau berkata, agihan daripada peruntukan berjumlah RM17 bilion yang diberikan untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) kali ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasakan penyampaian perkhidmatan PDRM kepada masyarakat.

Katanya, peruntukan besar itu yang disediakan dalam Belanjawan 2021 amat dihargai PDRM.

“Selain itu bantuan khas kewangan sebanyak RM600 untuk kakitangan awam Gred 56 ke bawah dan RM300 bagi pesara kerajaan serta veteran tidak berpencen jelas menunjukkan  kerajaan sentiasa menghargai khidmat bakti penjawat awam kepada negara.

“Peruntukan sebanyak RM310 juta bagi program perumahan penjawat awam yang diumumkan turut membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan penjawat awam keseluruhannya,” kata beliau dalam kenyataan mengulas Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Hamid turut menyifatkan pemberian wang RM500 secara one-off kepada 40,000 pesara polis yang menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara juga adalah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan ke atas pengorbanan dan bakti mereka selama ini.

“Manakala peruntukan sebanyak RM20 juta bagi memperkasakan program perlindungan dan rondaan biodiversiti yang melibatkan pengambilan lebih 500 bekas tentera dan polis serta Orang Asli jelas membuktikan kerajaan amat komited dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan memelihara khazanah negara.

“PDRM akan memastikan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan dalam belanjawan kali ini akan dioptimumkan secara berhemah, demi kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara,” tegas beliau.