Home Politik Belanjawan kesihatan lebih penting daripada propaganda politik – Azis

Belanjawan kesihatan lebih penting daripada propaganda politik – Azis

Datuk Mohd Azis Jamman

KUALA LUMPUR – Pemotongan geran khas kepada Sabah dalam Belanjawan 2021 dikesali memandangkan negeri itu kini berhadapan dengan ancaman Covid-19.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, sewaktu Pilihanraya Negeri Sabah, antara kempen utama para menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN)t kononnya untuk memastikan kesejahteraan dan pembangunan di Sabah terjamin.

“Hari ini kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sealiran namun apa yang berlaku adalah hadiah Kerajaan PN kepada rakyat Sabah sebaliknya tidak meneruskan komitmen sewaktu zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah melalui pemberian geran khas yg sepatutnya meningkat daripada RM53.4 juta selama lima tahun dan jumlahnya di jadualkan meningkat kepada RM106.8 juta selepas lima tahun tetapi sebaliknya ia telah dikurangkan kepada jumlah asal sebanyak RM26.7 juta sahaja,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Azis yang juga Ketua Wira WARISAN Sabah berkata, pembentangan Belanjawan kali ini juga menyaksikan peruntukan pembangunan untuk negeri Sabah menyusut apabila hanya RM5.1 bilion akan disalurkan berbanding RM5.2 bilion yang disalurkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

“Saya melihat langkah kerajaan PN ini sebagai satu lagi tindakan yang tidak adil serta berat sebelah kepada rakyat Sabah dan seolah-olah menganaktirikan rakyat Sabah walaupun pelbagai janji semasa Pilihan Raya Negeri Sabah lalu ditabur kononnya Kerajaan Persekutuan tidak akan mengabaikan kebajikan rakyat Sabah.

“Rakyat Sabah pastinya juga kecewa dan kesal dengan Ketua Menteri Sabah yang seolah-olah bersikap lepas tangan dan hanya dicucuk hidung oleh Kerajaan Persekutuan sehingga tidak berani mempertahankan hak rakyat Sabah yang sepatutnya diberikan kepada mereka,” katanya.

Lebih mengecewakan lagi dan tidak masuk akal ketika peruntukan untuk negeri Sabah dikurangkan dan dipotong, kerajaan memperuntukan sejumlah RM81 juta lebih bagi menghidupkan semula unit propaganda milik kerajaan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

“Saya mengecam dan membantah sama sekali langkah Kerajaan Persekutuan memotong peruntukan Geran Khas dan pembangunan untuk negeri Sabah ini.

“Persoalannya yang saya ingin bangkitkan, adakah peruntukan kepada rakyat Sabah ini dipotong bertujuan untuk mencari dana bagi menghidupkan semula unit propaganda kerajaan Perikatan Nasional, JASA ini yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat jelata amnya?” soalnya.- MalaysiaGazette