
KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka terus diniagakan di atas paras 1,500 minggu depan, disokong oleh Belanjawan 2021 yang menumpukan kepada pemulihan ekonomi dan membina daya tahan negara.
Penganalisis Malacca Securities Sdn Bhd Kenneth Leong berkata, sentimen pasaran mendapat rangsangan daripada berita bahawa kerajaan berusaha untuk mengimbangkan keperluan kapasiti penjagaan kesihatan di samping meningkatkan momentum pemulihan ekonomi ketika ini dan membina daya tahan negara bagi masa depan.
“Bursa Malaysia bersama-sama dengan bursa serantau lain juga dijangka dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran seperti keputusan pilihan raya Amerika Syarikat (AS), pakej rangsangan AS dan pergerakan harga minyak.
“Pelabur juga akan menunggu angka keluaran dalam negara kasar yang dijadual diumumkan pada Jumaat depan (13 Nov),” katanya kepada Bernama.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI naik 52.75 mata untuk ditutup kepada 1,519.64.
Pada Jumaat, pasaran ditutup tinggi dengan keyakinan pelabur mendapat rangsangan daripada pengumuman Belanjawan 2021 yang menyaksikan FBM KLCI naik 18.15 mata atau 1.21 peratus kepada 1,519.64.
Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, pasaran dipengaruhi oleh Belanjawan 2021, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari mengenai Kadar Dasar Semalaman, pergerakan harga minyak dan perkembangan pilihan raya presiden AS.
FBM KLCI naik 52.75 mata untuk ditutup kukuh minggu ini kepada 1,519.64 berbanding 1,466.89 pada Jumaat minggu lepas.
Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 405.39 mata kepada 111,018.97, Indeks FBMT 100 naik 389.65 mata kepada 10,813.28 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 533.72 mata kepada 13,275.40.
FBM 70 meningkat 531.71 mata kepada 14,516.80.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 285.07 mata kepada 12,294.46 dan Indeks Perladangan naik 321.48 mata kepada 7,123.38 manakala Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 8.65 mata kepada 149.79.
Indeks Teknologi naik 5.02 mata kepada 64.71 manakala Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 1046.96 mata kepada 4,130.33.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 34.28 bilion unit bernilai RM18.51 bilion daripada 21.09 bilion unit bernilai RM16.16 bilion minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama mengukuh kepada 16.30 bilion saham bernilai RM13.88 bilion daripada 11.43 bilion saham bernilai RM12.94 bilion.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 4.08 bilion unit bernilai RM842.51 juta daripada 2.84 bilion unit bernilai RM735.43 juta pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 10.68 bilion bernilai RM3.75 bilion daripada 6.80 bilion bernilai RM2.48 bilion. – MalaysiaGazette