KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyambut baik penyediaan insentif sebanyak RM50 juta bagi sektor sawit yang berupaya meningkatkan kemampanan dan daya saing industri sawit.
Peruntukan RM20 juta untuk pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dapat membantu pemain industri khususnya pekebun kecil melaksanakan pensijilan MSPO yang kos ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, penyediaan geran padanan sebanyak RM30 juta untuk pelaburan dalam mekanisasi dan automasi pula menyedia insentif kepada
pemain industri untuk melaksanakan mekanisasi bagi kecekapan operasi ladang.
Menurutnya, penyediaan insentif khas sebanyak 60% daripada gaji bulanan dengan 40% disalurkan terus kepada majikan dan 20% kepada pekerja tempatan dalam tempoh enam bulan bagi galakan pengambilan pekerja tempatan menggantikan pekerja asing di bawah program Penjana Kerjaya wajar dimanfaatkan oleh sektor perladangan sawit bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja. – MalaysiaGazette