Home Nasional Kena lulus Akta Kawalan Tembakau sebelum duti eksais peranti rokok

Kena lulus Akta Kawalan Tembakau sebelum duti eksais peranti rokok

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Akta Kawalan Tembakau perlu dibentang dan diluluskan terlebih dahulu di Parlimen sebelum duti eksais membabitkan peranti rokok elektronik dan bukan elektronik seperti vape dan shisha dilaksanakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, akta itu kini sedang digubal Pejabat Peguam Negara.

Jelas beliau tanpa peruntukan undang-undang sedemikian, sukar melaksanakan kawalan dan percukaian terhadap cecair rokok elektronik.

Beliau berkata, ketika ini, cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin berada bawah kawalan Akta Racun 1952.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu melaksanakan penelitian lanjut sebelum kita melaksanakan (percukaian) iaitu melihat kepada sebarang pertindihan atau bertentangan dengan sebarang peruntukan bawah Akta Racun 1952.

“Akta baharu bagi kawalan tembakau perlu disiapkan dengan segera dan dibentangkan.

“Akta ini sedang dalam semakan Pejabat Peguam Negara dan tanpa akta ini, cecair rokok elektronik selain daripada yang mengandungi nikotin sukar dikawal dan pelaksanaa cukai sukar dilaksanakan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya kesan duiti eksais 10 peratus terhadap peranti rokok elektronik dan bukan elektronik seperti vape dan shisha mulai tahun depan seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 semalam serta kesannya terhadap usaha KKM mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan masyarakat terutama ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Dalam Belanajawan 2021, kerajaan akan mengenakan duti eksais pada kadar 10 peratus ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape berkuatkuasa 1 Januari depan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, cecair rokok elektronik juga akan dikenakan duti eksais pada kadar 40 sen per milimeter.

Pada Ogos tahun lalu, media melaporkan Akta Kawalan Tembakau yang sedang dirangka KKM bagi membanteras penggunaan produk tembakau secara haram akan diserahkan ke Pejabat Peguam Negara.

Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata akta itu mampu mengawal peningkatan penggunaan rokok haram di Malaysia, selain produk tembakau lain seperti vape dan rokok elektronik. – MalaysiaGazette