GEORGE TOWN – Kira-kira 30 gerai makanan dan minuman di Medan Selera Mutiara yang terletak di Jalan Sungai Kerian, Tanjung Bungah, di sini musnah dalam satu kebakaran hari ini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, Mohd Rizuan Ramli berkata pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.19 pagi dan mendapati api sedang marak di medan selera itu.
“Kebakaran itu melibatkan kedai makanan dan minuman jenis terbuka iaitu medan selera dengan keluasan keseluruhan 5,000 kaki persegi. Anggaran kemusnahan di tempat kejadian adalah sekitar 70 peratus,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata bomba berjaya mengawal kebakaran pada pukul 10.50 pagi dan api dipadamkan sepenuhnya kira-kira setengah jam kemudian dengan bantuan BBP Jalan Perak serta Bayan Baru.
Katanya peniaga serta pelanggan yang sedang menjamu selera semasa kejadian sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari kebakaran bermula.- BERNAMA