Home Utama Moratorium pukal, pengeluaran KWSP tingkat wang dalam kitaran ekonomi – Najib

Moratorium pukal, pengeluaran KWSP tingkat wang dalam kitaran ekonomi – Najib

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Jika Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak  menjarah begitu banyak wang daripada Petronas, jumlah perbelanjaan untuk Belanjawan 2021 mampu mencapai sebanyak RM56 bilion.

Datuk Seri Najib Razak berkata, walaupun Belanjawan 2021 dikatakan bajet paling besar dalam sejarah iaitu sebanyak RM322.4 bilion – namun sebenarnya hanya RM8 bilion lebih besar dengan saiz bajet tahun 2019 semasa Kerajaan PH iaitu sebanyak RM316.5 bilion.

Namun defisit bajet tahun 2021 adalah lebih besar berbanding tahun 2019 kerana PH telah mengambil RM54 bilion daripada Petronas untuk meningkatkan hasil kerajaan tahun 2019 supaya defisit bajet tidak nampak begitu besar, katanya.

Menurutny, Petronas pula diramal hanya mampu membayar dividen sebanyak RM18 bilion untuk tahun depan disebabkan  harga minyak dunia dijangka lebih rendah berbanding hasil cukai petroleum pada tahun 2019 yang lebih tinggi berbanding tahun 2021.

”Walaupun ramai rakyat bulat-bulat telan propaganda PH bahawa kerajaan PH terpaksa jarah Petronas pada tahun 2019 sebab mahu bayar balik tunggakan refund (bayaran balik) GST RM18.2 bilion yang kononnya dirompak BN. (Laporan PAC untuk GST telah membuktikan bahawa refund itu tidak dirompak dan masih ada dalam akaun kerajaan).

”Sebenarnya, Petronas dijarah tahun 2018 dan 2019 sebab kerajaan PH perlu tanggung kekurangan hasil kerajaan akibat mengganti GST dengan SST dan juga untuk menanggung hasil yang hilang akibat tax holiday (tanpa cukai) tiga bulan tahun 2018.

Selain itu, ruang untuk perbelanjaan dan defisit lebih besar bagi bajet 2021 telah dinafikan PH apabila menaikkan nisbah hutang kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari 48.7% pada suku pertama tahun 2018 kepada 54.4% pada suku pertama tahun 2020.

Akibat menaikkan hutang kerajaan sebanyak RM140 bilion dalam tempoh 22 bulan, defisit kerajaan dinaikkan berbanding penurunan defisit negara untuk 8 tahun berturut-turut masa beliau menjadi Perdana Menteri, tambah Najib.

”Maka timbulnya kebimbangan bahawa bajet tahun 2021 akan kurang efektif untuk menyelamatkan ekonomi pada zaman Covid sebab ianya hanya sedikit lebih besar berbanding bajet tahun 2019, di mana ekonomi kita tetap terjejas walaupun masa itu krisis Covid tak wujud,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pertimbangan ini adalah antara salah satu faktor yang mendorongnya membuat saranan untuk melanjutkan moratorium pinjaman secara pukal dan membenarkan pengeluaran one-off sehingga RM10,000 dari akaun 1 KWSP sebab dana ini tidak termasuk dalam perbelanjaan kerajaan atau pengiraan defisit negara.

”Pada pendapat saya, dana ini amat diperlukan untuk menaikkan kitaran wang dalam ekonomi pada masa perbelanjaan kerajaan adalah terhad.

“Wang yang dikeluarkan daripada akaun pencarum pada masa ini mampu dipulihkan dengan sokongan kerajaan dalam masa setahun atau dua tahun lagi pada masa hadapan selepas krisis Covid-19 berlalu,” ujarnya. – MalaysiaGazette