Home Nasional Polis pantau jika ada pihak palsukan permit rentas negeri

Polis pantau jika ada pihak palsukan permit rentas negeri

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) memeriksa pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Tol Sungai Besi. foto AFIQ HAMBALI, 07 NOVEMBER 2020.

SERDANG – Polis tidak menolak kemungkinan ada pihak yang memalsukan dokumen rentas negeri dan pihaknya akan berusaha memastikannya tidak berlaku.

Namun kata Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah setakat ini perkara itu belum dikesan di kawasan pentadbirannya.

Menurutnya, polis ada kewarasan dan fokus ketika meneliti surat kebenaran rentas negeri yang dipamerkan pemandu semasa pemeriksaan polis antaranya cop, tandatangan pegawai polis dalam borang itu.

“Kita tidak menolak wujud kemungkinan itu tapi insyAllah setakat ini tiada insiden palsukan dokumen dikesan dan saya rasa masyarakat mematuhi peraturan itu walaupun ada sokongan dan juga cemuhan pengguna tentang sekatan jalan raya ini,” katanya selepas memantau Sekatan Jalan Raya di Plaza Tol Sungai Besi di arah Utara dan Selatan hari ini.

Razali dalam masa yang sama menasihati masyarakat yang masuk berurusan di Kuala Lumpur dan juga ke Seremban supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

“Malah menjelang Deepavali nanti sudah pasti ramai mungkin cuba memohon permit rentas negeri atau sempadan bagaimanapun kita akan kaji mengikut prosedur standard operasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan syarat yang ditetapkan iaitu hal kecemasan dan kebajikan kritikal sahaja.

“Kita juga lihat keadaan trafik di sekatan jalan raya semakin sibuk dari semasa ke semasa menjelang perayaan Deepavali walaupun PKPB dilanjutkan lagi sehingga 6 Disember ini dan jika keadaan mendesak kita akan menambah kekuatan mengikut keperluan masa itu nanti,” tegasnya.

Terdahulu beliau berkata, pihaknya menerima sebanyak 17,584 permohonan permit rentas negeri dalam tempoh tiga minggu pelaksanaan PKPB sejak 14 Oktober lalu.

Bagaimanapun daripada jumlah itu, sebanyak 16,971 permohonan diluluskan manakala 613 lagi ditolak kerana mengemukakan alasan tidak munasabah.

Sepanjang tempoh permohonan permit itu pelbagai alasan diterima sebagai sokongan daripada pemohon termasuk ingin bertemu ahli keluarga dan sebagainya.

“Tiada alasan munasabah yang relevan seperti kecemasan kritikal, kebajikan, ahli keluarga jatuh sakit dan sewaktu dengannya.

“Kita menggunakan budi bicara dan berdasarkan peraturan SOP yang ditetapkan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kita terpaksa menolak permohonan yang tidak menepati syarat yang ditetapkan,” katanya

Katanya kehadiran beliau ke SJR untuk memastikan tahap kepatuhuhan SOP PKPB oleh pengguna lebuh raya yang bersempadankan Kuala Lumpur dan Seremban.

Menurut beliau,  tahap pematuhan maksimum penting supaya kita dapat melandaikan sepenuhnya rantaian Covid-19.

Katanya seramai 132 orang anggota dan enam pegawai dikera dalam putaran tiga syif sehari dengan dua pegawai dan 32 anggota dalam satu syif yang turut dibantu oleh pasukan sahabat tentera 31 artileri diraja kem Tun Ibrahim Semenyih Kajang, empat anggota Rela.

Sepanjang tiga minggu pelaksanaan SJR berkenaan sebanyak 154,000 kenderaa telah diperiksa membabitkan 184,000 pemandu dan beberapa kesalahan antaranya pengingkaran PKPB dan salah laku jenayah dikenalpasti anggota polis.

Menurutnya sebanyak 680 kompaun dikeluarkan di bawah daerah Serdang atas pelbagai kesalahan dan di sekatan jalan di Plaza Tol Sungai Besi sahaja 53 kompaun dikeluarkan yang mana majoriti kesalahan merentasi sempadan negeri secara tidak berdokumen, empat orang dalam satu kereta serta membawa muatan lebih.

Kesemua kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 3, 10 dan 11 Akta 342 dan ada juga sebanyak 2338 buah kenderaan yang diarah berpatah balik atas kesalahan surat tidak lengkap dan alasan merentas negeri yang tidak memadai dan tidak memuaskan pematuhan PKPB.

“Dalam sekatan jalan yang sama polis turut berjaya menahan dua lelaki warga tempatan dan bersama sebuah motosikal curi yang dilaporkan hilang dan telah dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.- MalaysiaGazette