Home Politik PRK Batu Sapi: Warisan sudah kenal pasti calon – Jaujan

PRK Batu Sapi: Warisan sudah kenal pasti calon – Jaujan

Parti Warisan Sabah (Warisan) sudah mengenal pasti calon untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang namanya akan diumumkan Presiden parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.- Gambar hiasan.

KOTA KINABALU – Parti Warisan Sabah (Warisan) sudah mengenal pasti calon untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang namanya akan diumumkan Presiden parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Naib Presiden parti Datuk Jaujan Sambakong berkata presiden akan membuat kenyataan sebelum hari penamaan calon yang dijadual pada 23 Nov ini.

“Kami sudah ada (calon-calon dikenal pasti) tetapi tunggu keputusan kepimpinan kami,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Jaujan berkata mereka menjangkakan calon Warisan akan dicabar pada PRK Batu Sapi biarpun kini dalam situasi penularan COVID-19, kerana dalam sejarah politik Sabah, belum pernah tiada pertandingan berlaku ketika pilihan raya diadakan.

“Di Sabah, dalam sejarah tiada bertanding secara percuma, dalam pengalaman lebih 60 tahun, mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU), PRK pun sentiasa ada pertandingan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mengeluarkan kenyataan PRK Batu Sapi diteruskan, maknanya ada pertandingan,” katanya.

SPR menetapkan 5 Dis sebagai tarikh PRK Parlimen Batu Sapi manakala 1 Dis adalah tarikh mengundi awal. SPR juga sudah menghantar kad pengundi kepada 32,962 pengundi terdiri daripada 1,810 pengundi awal dan 31,152 pengundi biasa.

PRK Batu Sapi diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong daripada Warisan yang meninggal dunia pada 2 Okt lepas.

Terdahulu, Jaujan bersama beberapa pemimpin Warisan Plus iaitu DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu berhubung kenyataan sebuah portal mendakwa kerajaan negeri pimpinan Warisan Plus sebelum ini mengeluarkan pas sementara Sabah kepada pendatang tanpa izin (PTI) sehingga berlakunya lambakan PTI di negeri itu.

“Ini satu perkara yang tidak betul dan berunsur fitnah. Kerajaan Warisan Plus tidak pernah mengeluarkan pas seperti didakwa. Kami menganggap ini sangat serius dan tidak boleh diambil mudah. Kami berharap ia disiasat oleh pihak berwajib,” katanya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah.- BERNAMA