Home Seni Hidup Deepavali: Golongan tidak bernasib baik dapat perhatian DSK

Deepavali: Golongan tidak bernasib baik dapat perhatian DSK

Pemegang Amanah Kuil Sri Mahamariamman, Datuk Sivakumar Nadarajah (kiri) beramah mesra dengan sebahagian anak-anak yatim selepas memberi bantuan kepada mereka di Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Heavenly, Puchong, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Perayaan pesta cahaya atau Deepavali akan dirai hanya beberapa hari sahaja lagi, namun sambutan itu tidak sama seperti tahun-tahun sebelum ini berikutan pandemik Covid-19.

Perayaan yang berwarna-warni yang disambut secara besar-besaran oleh masyarakat India itu tampak ‘muram’ tahun ini.

Ramai yang terjejas termasuk golongan B40, M40 malah T20 juga apatah lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak baik di seluruh dunia.

Bagaimanapun nasib golongan kurang bernasib baik masih mendapat perhatian Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam yang diterajui Tan Sri N Nadarajah.

Lembaga Pengarah serta Ahli jawatankuasanya kuil hari ini tampil membantu sekurang-kurangnya 2,000 keluarga yang di kategorikan miskin dengan tajaan barangan serta makanan bagi membantu meringankan bebanan mereka untuk menyambut Deepavali.

Menurut jurucakap dan pemegang amanah Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, Datuk Sivakumar Nadarajah atau lebih dikenali sebagai ‘DSK’, beliau sebenarnya terpanggil dengan keadaan yang dilalui penduduk negara ini, khususnya komuniti India.

Jelas DSK, pihak kuil sememangnya sentiasa melakukan amal terutamanya ketika hampir tiba musim perayaan dengan fokus utama membantu mereka yang tidak bernasib baik.

Katanya, bukan sahaja Deepavali sebaliknya bantuan pendidikan juga menjadi keutamaan, masalah sosial, krisis ekonomi dan terbaru pandemik Covid-19 menjadi fokus kuil.

Temubual bersama Pemegang Amanah Kuil Sri Mahamariamman, Datuk Sivakumar Nadarajah di Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Heavenly, Puchong, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2020.

“Kali ini kita taja hamper yang kandungannya bahan-bahan membuat ‘murukku’ Deepavali serta makanan tradisi lain untuk sambutan ini juga kita bekalkan minyak masak, beras serta barangan am lain.

“Kita kenalpasti dulu kumpulan yang benar-benar memerlukan dan dalam keadaan cukup terdesak ini, pasukan khas yang di tubuhkan bawah ‘DSK’ ini akan membuat recce serta mengumpul maklumat tentang maklumat berkaitan keluarga atau individu susah.

“Dari situ kita akan mula pembahagian barangan, bukan sahaja di Kuala Lumpur atau Selangor sebaliknya kita ada permintaan seluruh Malaysia.

“Bermula awal bulan ini, kita sudah mula melaksanakan pemberian bantuan ini dari satu lokasi ke satu lokasi. Contohnya, hari ini sahaja kita ada tujuh lokasi yang membabitkan lebih 400 penerima.

“Bermula awal pagi ini, kita mulakan jelajah dari Flat San Peng, sememangnya anda semua maklum ramai kaum India yang tidak begitu senang tinggal di kawasan itu yang memerlukan pelbagai jenis bantuan.

“Selepas San Peng Flats, kita akan ke rumah anak-anak Yatim ‘Heavenly Child Home’ di Puchong kemudian satu lagi lokasi di Puchong Kinrara dan ke Klang sebelum ke Ulu Yam pada sebelah malam sebelum tamat waktu PKPB.

“Sememangnya penuh jadual kita namun saya bersama sukarelawan lain begitu komited kerana apabila anda lihat telefon saya yang tidak berhenti berbunyi memohon bantuan, pastinya tidak senang duduk atau tidur,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.

Kata DSK, walaupun Covid-19 adalah antara punca mengapa Deepavali kali ini mungkin suram dan tidak dinantikan namun tradisi masih perlu diteruskan.

“Bayangkan anak-anak kecil yang anda lihat ini, umur mereka baharu sahaja beberapa tahun, ada juga yang telah mula menghuni di rumah kebajikan ini ketika masih bayi lagi, ditinggalkan oleh ibu bapa mereka atas pelbagai alasan serta kesempitan hidup.

“Apa yang mereka tahu? Mereka hanya mahu disayangi, pastinya Deepavali bagi mereka sama seperti sebelum ini, pakaian baharu, makanan sedap-sedap, ada pelawat serta boleh bermain dengan semua. Mesti tahun ini Covid bukan penghalang.

“Pada saya dan keseluruhan jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam juga tidak mahu pandemik ini menjadi penghalang untuk golongan tidak bernasib seperti ini untuk tidak sambut Deepavali. Kita tidak apa, biarlah yang ini sambut,” ujarnya.

Pemegang Amanah Kuil Sri Mahamariamman, Datuk Sivakumar Nadarajah (kiri) beramah mesra dengan sebahagian anak-anak yatim selepas memberi bantuan kepada mereka di Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Heavenly, Puchong, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2020.

DSK menjelaskan pihaknya akan mula mengedar barangan makanan sepanjang minggu ini sehingga sehari sebelum Deepavali.

“Kita juga akan mula menghantar bantuan ke Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan lain-lain tempat bermula esok.

“Sememangnya kita ada sedikit cabaran kerana perlu juga mematuhi semua garis panduan yang disediakan oleh kerajaan dengan sebaiknya. Kita tidak benarkan semua berkumpul sebaliknya ada juga kita sendiri hantar sehingga ke pintu rumah.

“Janganlah kita hendak tolong tapi akhirnya kita pula menjadi penyebab penularan penyakit maut ini, kita juga nasihatkan penerima bantuan supaya patuh semuanya dengan betul,” katanya.

Dalam pada itu, DSK turut melahirkan rasa sedih kerana sambutan Deepavali tidak seperti tahun-tahun sebelum ini namun memohon masyarakat bersabar dan berdoa semuanya akan pulih seperti sedia kala.

“Semoga ada sinar dan cahaya menanti kita di hujung jalan ini, kita doa banyak-banyak. Kita bantu kita, selagi yang boleh. Kita pasti akan menang akhirnya,” katanya. – MalaysiaGazette

Pemegang Amanah Kuil Sri Mahamariamman, Datuk Sivakumar Nadarajah (tengah) bergambar kenangan dengan sebahagian penerima bantuan di Kuil Sri Maha Karumariamman San Peng, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2020.