Home Nasional JASA untuk kerajaan sentiasa dengar dan faham rintihan rakyat – Wan Saiful

JASA untuk kerajaan sentiasa dengar dan faham rintihan rakyat – Wan Saiful

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, peranan Jabatan Hal Ehwal khas (JASA) adalah untuk memastikan kerajaan sentiasa mendengar dan faham rintihan rakyat.
Katanya, pada masa yang sama rakyat juga boleh mendapat maklumat tepat dari kerajaan.
“Bukan untuk propaganda seperti dulu. Era itu sudah berakhir,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Wan Saiful berpandangan, perbahasan mengenai JASA telah  dieksploitasi untuk melarikan pandangan rakyat daripada Belanjawan 2021 yang prihatin rakyat dan bermatlamatkan mahu membantu segenap lapisan masyarakat.
Bagaimanapun, katanya, begitu banyak fokus sengaja ditumpukan kepada memesongkan isu JASA, kerana tidak banyak isu lain dalam Belanjawan 2021 boleh dimainkan.
“Saya difahamkan Kementerian Komunikasi akan memberikan penjelasan lebih mendalam mengenai isu ini. Sementara itu, tak perlulah kita menari mengikut rentak pihak-pihak yang sentiasa mencari kesempatan untuk membangkang,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, dalam era media sosial  teknologi yang diperlukan untuk komunikasi berkesan memang tidak murah.
Maka, katanya, tidak pelik jika peruntukan yang secukupnya mesti diberikan untuk memastikan kerajaan kita mempunyai teknologi dan kelengkapan yang sesuai dengan era media sosial ini.
“Itu kita belum bercakap mengenai kos menangkis fake news yang sengaja disebarkan lagi.
“Mungkin sebab itu juga lah peruntukan emolumen hanya sekitar RM4 juta sahaja daripada jumlah penuh yang diperuntukkan. Tak besar pun, sebenarnya. Yang lain adalah untuk pembelian keperluan termasuk teknologi yang diperlukan,” katanya.
Menurut Wan Saiful, kerajaan Perikatan Nasional tidak boleh menjadi seperti kerajaan sebelum ini yang langsung tidak mendengar rintihan rakyat terbanyak.
Akibatnya, Pakatan Harapan dahulu gagal memahami bahawa rakyat mahukan bantuan kos sara hidup, bantuan perniagaan, peluang pekerjaan, dan lain-lain insentif untuk kehidupan sempurna.
“Itulah akibatnya apabila sesebuah kerajaan seperti PH tidak mendengar suara rakyat. PN jangan jadi begitu.
“Jika perlu pelaburan teknologi baru untuk menggarap permintaan rakyat, maka kita patut buat agar tawaran dan inisiatif kerajaan sentiasa tepat dengan keperluan rakyat.” katanya.
Wan Saiful turut mencadangkan supaya pegawai-pegawai yang dilantik mestilah  berkelayakan dan berkebolehan.
“Jangan yang tak layak dilantik juga. Jika kita buat begitu, pasti rakyat akan bersetuju.
“Kita jangan tertipu dengan percubaan pembangkang melarikan perhatian daripada belanjawan prihatin yang penuh dengan inisiatif-inisiatif yang baik ini. Dan jangan juga kita ikut sama dalam propaganda mereka,” katanya.
Jumaat lalu selepas pembentangan Belanjawan 2021, beberapa pihak mahu kerajaan menjelaskan mengapa JASA diberi peruntukan yang tinggi iaitu RM85.5 juta. – MalaysiaGazette