Home Dunia Jill Biden ubah sejarah 231 tahun FLOTUS

Jill Biden ubah sejarah 231 tahun FLOTUS

Wanita Pertama Amerika Syarikat, Jill Biden

WASHINGTON – Dr. Jill Biden yang merupakan seorang profesor Bahasa Inggeris bakal menjadi Wanita Pertama Amerika Syarikat (FLOTUS) yang akan meneruskan kerjayanya meskipun sesudah memasuki White House.

Isteri Joe Biden itu memiliki empat ijazah termasuk doktor falsafah akan melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya dalam tempoh 231 tahun, seorang FLOTUS tetap makan gaji dan dalam masa yang sama berkhidmat sebagai Wanita Pertama.

“Beliau betul-betul membawa peranan Wanita Pertama abad ke-21,” kata pakar sejarah yang juga Profesor di Universiti Ohio, Katherine Jellison.

Tambah Katherin, tiada lagi FLOTUS sebelum ini “dibenarkan untuk menjalani kehidupan wanita moden Amerika iaitu memiliki kerjaya dan kehidupan berkeluarga.

Menurut Ketua Staf bekas Wanita Pertama Laura Bush dan pembantu kepada Presiden George W. Bush, daripada segi sejarah, rakyat Amerika mahu Wanita Pertama mereka duduk di White House dan berada di sisi Presiden sepanjang masa.

“Mungkin sudah tiba masanya rakyat Amerika boleh menerima idea yang isteri seorang Presiden boleh menjadi Wanita Pertama dan ahli profesional serentak.

“Angin perubahan sedang bertiup dan ini mungkin akan terjadi,” katanya.

Jill, 69, memiliki satu ijazah sarjana muda, dua ijazah sarjana dan satu ijazah doktor falsafah dalam bidang pendidikan dari University of Delaware yang dimilikinya pada 2007.

Melihat kepada kehidupan profesional beliau, anda boleh menyaksikan agenda utama Jill adalah pendidikan.

Beliau juga merupakan penyokong tegar kebajikan keluarga tentera dan terlibat secara langsung dalam kempen kesedaran kanser (anaknya, Beau Biden meninggal dunia akibat kanser otak pada 2015).

Kesemua agenda berkenaan telah pun digerakkan semasa suaminya masih menjadi Naib Presiden. – Agensi

 

+ posts